| Universiti Putra Malaysia

Belia dalam bidang pertanian, pemangkin masa depan sektor ekonomi negara

Ringkasan Artikel

Baru-baru ini isu ketidakcukupan bekalan makanan menjadi isu hangat seluruh dunia dan Malaysia adalah antara negara yang terlalu bergantung kepada makanan import walaupun hakikatnya negara dilabelkan sebagai negara yang kaya dengan hasil bumi dan tanaman.

Oleh: Noor Eszereen Juferi & Nur Syamila Kamarul Arefin

Baru-baru ini isu ketidakcukupan bekalan makanan menjadi isu hangat seluruh dunia dan Malaysia adalah antara negara yang terlalu bergantung kepada makanan import walaupun hakikatnya negara dilabelkan sebagai negara yang kaya dengan hasil bumi dan tanaman.

Selain itu, didapati kerjaya sektor pertanian kini dimonopoli oleh tenaga kerja warga asing kerana faktor belia yang tidak meminati bidang ini yang seringkali memberi perspektif negatif oleh masyarakat yang merasakan sektor tersebut tidak gah.

Faktor persekitaran masa kini terutamanya pelajar lepasan SPM lebih cenderung memilih kerjaya sebagai pempengaruh menyebabkan mereka memilih ke arah ekonomi gig yang kini menjadi trend dan antara pekerjaan yang boleh dilakukan secara bebas serta menjana pendapatan dengan memberi pulangan dengan segera.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Daljit Singh A/L Karam Singh berkata pentingnya golongan beliau terbabit dalam bidang pertanian kerana mereka perlu memastikan kelestarian bekalan makanan sentiasa terjamin untuk generasi akan datang.

“Negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan Thailand masih mengekalkan kepentingan pertanian untuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan pertanian negara perlu diangkat serius bagi melihat prospek kerjaya bidang tersebut,” katanya.

Tambah beliau, kesannya sekiranya negara jika masih bergantung kepada pekerja asing dan petani yang sudah berusia dalam bidang pertanian beliau khuatir ketiadaan pelapis dalam bidang berkenaan dan ini akan menjejaskan sektor pertanian.

“Kita juga tidak mahu pengaliran keluar mata wang kita ke luar negara akan memberi impak negatif terhadap ekonomi negara dan sektor ini merupakan bidang kerjaya yang akan mendapat pulangan manfaat di jangka masa panjang” katanya.

Dr. Daljit Singh berpandangan, bagi menarik minat golongan belia ke sektor itu antaranya perlu diperkenalkan bidang pertanian di peringkat sekolah bagi memberi pendedahan serta gambaran karier dalam bidang berkenaan.

“Negara kita mempunyai agensi-agensi berkaitan pertanian, perhutanan, perladangan dan UPM antara institusi pengajian tinggi yang mempunyai pelbagai program pertanian serta turut berperanan dalam memperkenalkan program pengajian serta melahirkan graduan pertanian yang menerajui sektor tersebut,” katanya.

Sementara itu, pelajar Master Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shu Goo Long yang juga seorang petani moden berkongsi bahawa pendedahan awal dalam bidang pertanian kepada belia harus bermula dari kecil oleh ibu bapa mereka sendiri bagi memastikan hasil pertanian terjamin untuk masa depan.

Beliau kini sedang mengusahakan 0.5 hektar tanaman strawberi berkongsi, sejak usianya 11 tahun lagi telah diajar masuk ke kebun membantu ayahnya memotong sayur-sayuran seawal jam 5 pagi dan pulang ke rumah pada jam 4 petang.

“Saya minat pertanian sebab ayah menyara keluarga sebagai seorang petani. Apabila melihat ayah, saya memilih untuk bekerja dalam sektor ini menggunakan kepakaran yang dipelajari di universiti. Tambah beliau, bahan makanan adalah sumber asas kehidupan. Oleh itu, sebagai golongan muda saya nekad ingin membantu petani mencari penyelesaian dengan membuat kajian bagi menambahbaik hasil pertanian negara pada masa depan.

“Sebagai petani muda, saya bercita-cita menjadi seorang saintis yang pakar dalam bidang pertanian dan usahawan yang berjaya dengan menggunakan teknologi yang ada bagi memudahkan urusan kerja di kebun,” katanya.

Beliau berkata, pekerjaan sebagai petani moden tidak diketahui oleh ramai golongan muda bahawa pendapatan yang diperoleh adalah stabil. Bukan itu sahaja, sebagai golongan muda yang hidup dalam era digital mereka boleh menyumbang dalam bidang pertanian menggunakan teknologi untuk diaplikasikan.

“Kos apa yang anda pelajari di universiti boleh diaplikasikan dalam bidang pertanian agar sektor ini menjadi pilihan golongan muda di Malaysia dan menjadi rebutan,” katanya. – UPM

WXDcTAx~