UPM Cipta Produk Bakeri Kekal Sedap Dan Menarik Gunakan Gelombang Ultrabunyi | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM CIPTA PRODUK BAKERI KEKAL SEDAP DAN MENARIK GUNAKAN GELOMBANG ULTRABUNYI

UPM cipta produk bakeri kekal sedap dan menarik gunakan gelombang ultrabunyi

Oleh Norizahamalina Ramli
Foto Noor Azreen Awang

 



SERDANG, 8 April – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM)  mencipta teknologi gelombang ultrabunyi yang mampu mengawal pengudaraan tekstur bakeri bagi memastikan rasa produk bakeri kekal sedap dan menarik.

Ketua penyelidiknya, Prof. Madya lr. Dr. Chin Nyuk Ling dari Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan berkata, teknologi Ultrasound Bath Aided Mixing System itu merupakan sistem pergaulan doh atau adunan berbantukan ultrabunyi untuk pemprosesan produk bakeri.

“Teknologi ini dapat mengawal serta mengolah tekstur dan kualiti keseluruhan produk dengan lebih bebas serta menjimatkan kos dengan penggunaan bahan ramuan yang membantu pengudaraan dalam produk bakeri,” katanya.



Beliau berkata, tenaga gelombang bunyi yang dihasilkan dapat meningkatkan ciri-ciri reologi, pengudaraan, tekstur dan menambah baik kualiti keseluruhan produk menerusi kaedah pemprosesan.

“Inovasi ini mampu mengubah struktur pengudaraan produk yang dibakar, dapat menghasilkan kualiti yang lebih banyak serta tekstur yang baik dengan mengurangkan penggunaan bahan  seperti emulsifier dan shortening dalam produk bakeri,” katanya.



Selain menjimatkan kos, kualiti serta tekstur produk yang dihasilkan dapat dipertingkatkan sehingga 30 peratus lebih baik berbanding produk sedia ada.

“Teknologi ultrabunyi ini juga menjadikan proses mengadun kek dan roti tanpa menggunakan bahan tambahan seperti serbuk penaik,” katanya.




Beliau yang menjalankan penyelidikan itu selama empat tahun dibantu oleh Prof. Madya Dr. Yus Aniza Yusof dari UPM,  Dr. Tan Mei Ching dari UCSI University dan Dr. Nasrul Fikri Che Pa dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) .

Penyelidikan tersebut mendapat dana e-Sains daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta memenangi pingat perak di Malaysia Technology Expo (MTE) 2015 dan pingat gangsa di Pameran Reka cipta, Penyelidikan & Inovasi (PRPI) pada tahun 2011. – UPM


Updated:: [hairul_nizam]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
B1498565620