| Universiti Putra Malaysia

UPM beri pengalaman pendidikan tinggi kanak-kanak autism genius

SERDANG, 1 Mac – Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra) telah memberi pengalaman pendidikan tinggi kepada kanak-kanak autism genius, Izz Imil Shahrom dalam bidang Sains iaitu subjek Matematik, Kimia dan Fizik.

 

Izz, 11, mempunyai autisme tahap terkawal (mild autism) dalam spektrum high functioning dan dikategorikan sebagai Hyperlexic atau Einstein Syndrome. Beliau mampu menguasai pengetahuan yang lebih tinggi berbanding usianya telah mengikuti sesi pembelajaran ASPutra pada 13 hingga 14 Februari lalu.

 

Pengarah ASPutra, Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah berkata, sesi  ini julung kali diadakan bagi membantu beliau untuk menimba pengalaman pembelajaran di peringkat Asasi.

 

“Para pensyarah di sini turut teruja mengendalikan sesi pembelajaran ini dan ini juga membantu beliau untuk berinteraksi bersama para pelajar ASPutra yang lebih berusia dengan beliau,” katanya.

Sebelum ini, satu perjumpaan antara pihak pengurusan ASPutra dengan ibu bapa beliau, iaitu Imil Shahrom Abdul Ghani dan Ilyah Abdul Aziz telah diadakan pada 9 Februari lalu.

Dalam pada itu, Izz telah mengikuti kursus jurusan Kimia yang dikendalikan oleh Pensyarah Kanan Bidang Kimia ASPutra, Dr. Norazlinaliza Salim.

Dr. Norazlinaliza berkata, antara topik difokuskan kepada Izz iaitu Ionic Equilibria berserta teori yang berkaitan seperti Arrhenius theory, Bronsted-Lowry theory dan Lewis theory.

 

“Saya kagum Izz cepat belajar dan memberi fokus sepenuhnya semasa dalam kelas serta boleh menjawab soalan tutorial kimia dengan tepat malah beliau sangat seronok melakukan aktiviti di kelas bersama para pelajar ASPutra,” katanya.

 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Bidang Matematik ASPutra, Dr. Mohd Ezad Hafidz Hafidzuddin dan pemahaman beliau dalam topik Differential Equation berkata pengetahuan Izz dalam bidang matematik adalah setara dengan pelajar ASPutra.

 

Pada sesi kedua hari kedua, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bidang Matematik ASPutra, Muhammad Khairul Jauhari Othman, mengetengahkan subtopik Integrating Factor untuk sesi pembelajaran kursus Matematik.

Kemudiannya beliau mengikuti sesi amali kursus Fizik serta menjalankan eksperimen berkaitan dengan Specific Heat dan Latent Heat bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bidang Fizik ASPutra, Nor Syazana Shamsuddin dan Nur Ain Asyiqin Anas.

Dalam pada itu, Izz berkata, beliau teruja kerana dapat merasai pengalaman di kampus serta berterima kasih dengan pihak ASPutra kerana memberi peluang kepada beliau untuk memperoleh pengalaman dalam bidang beliau minati.

“Secara keseluruhannya saya seronok dan akan memanfaatkan ilmu yang saya peroleh di sini dan menjadikan ianya satu pengalaman manis yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” katanya.

 

Izz turut berpeluang untuk belajar mengendalikan mikroskop dan melihat spesimen Biologi di Makmal Biologi, ASPutra. Sesi pembelajaran ini adalah sebagai salah satu persediaan bagi beliau untuk meneruskan pembelajarannya di peringkat tertier.

 

Sementara itu, Izz bersama ibu bapa beliau telah mengikuti sesi bual bicara bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail secara atas talian dalam Program High-Level Huddle: Izz and Top Management.

 

WXEbRAl~