| Universiti Putra Malaysia

UPM Bantu Pupuk Pelajar Minati Fizik

Dari kiri: Dr. Yap Wing Fen (Ketua Projek), Prof. Madya Dr. Zaidan Abdul Wahab (Ketua Jabatan Fizik UPM), Puan Zaihasra Azwa Zaharim (Ketua Panitia Fizik SGS), Puan Zainah Ahmad Sisman (Penolong Kanan Akademik SGS)


SERDANG, 8 Mei --  Program Kem Outreach Fizik anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) yang disertai 176 pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Sains Perempuan Seremban(SGS) baru-baru ini, memberikan impak dan anjakan paradigma kepada peserta, yang mendapati subjek itu mudah dan seronok dipelajari berbanding tanggapan mereka sebelum ini.

Program itu dikendalikan oleh UPM STEM - Outreach Physics yang diketuai Pensyarah Kanan Fakulti  Sains, Dr. Yap Wing Fen, turut membabitkan 38 orang mahasiswa Kelab Fizik UPM yang berperanan sebagai fasilitator dalam program berkenaan.

Dr Yap berkata, kajian mendapati pelajar aliran sains sekolah menengah atas mempunyai persepsi bahawa pembelajaran mata pelajaran Fizik amat sukar dan membosankan.

Dr. Yap bersama sebahagian daripada peserta Kem Outreach Fizik-SGS



Justeru, katanya, program selama dua hari satu malam itu bertujuan menyemai minat mendalam dan penghayatan terhadap Fizik di kalangan pelajar.

Putra Outreach Physics yang bermoto “Transfer, Transverse, Transfrom (Memindah, Melintas dan Mengubah)” menggunakan pendekatan yang berfokuskan pelaksanaan aktiviti secara hands-on, dengan  peserta diberi peluang menyaksikan dan mengalami sendiri serta mempelajari konsep yang berlaku dalam kehidupan seharian.

“Konsep dan aktiviti yang telah direka bentuk adalah menepati silibus Fizik SPM. Dalam program kali ini, cara-cara yang seronok untuk ‘faham & ingat’ sesuatu konsep Fizik turut dipindahkan kepada pelajar termasuk ‘faham & ingat’ melalui nyanyian lagu,” katanya.

Wakiil pelajar SGS, Nur Rashidah Razuan berkata, cara persembahan dan penyampaian konsep amat menarik dan mudah difahami.

“Subjek ini yang dahulunya saya paling tak gemar, rupanya seronok. Saya lebih memahami Fizik setelah melaksanakan eksperimen sendiri dalam program ini. Saya rasa ingin belajar Fizik dengan lebih mendalam,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Marsha Haniem Yahaya yang selama ini beranggapan subjek Fizik adalah sukar tetapi selepas menyertai program itu, mendapati ia sebenarnya mudah.

“Fasilitator membuatkan saya berfikir dengan lebih jauh dan yang paling penting saya sudah mula suka Fizik. Saya berterima kasih kepada UPM kerana berjaya menganjurkan satu program pemindahan dan transformasi ilmu yang luar biasa ini,” katanya.

 


Sementara itu, seorang daripada fasilitator Wan Md Ebtisyam Mustaqim Mohd Daniyal, mahasiswa Tahun 2 Bacelor Sains (Kepujian) Major Fizik berkata, belaiu amat teruja dan bertuah kerana diberi peluang menjadi fasilitator program itu.

“Menerusi program ini, saya berpeluang menurunkan berkongsi ilmu yang saya pelajari di UPM kepada  pelajar. Saya juga dapat membantu  mereka untuk memahami konsep fizik dengan betul dan seterusnya memupuk minat terhadap mata pelajaran ini. Saya seronok dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat, menepati moto UPM ‘Berilmu Berbakti’,” katanya.

Seorang lagi fasilitator dari jurusan Bacelor Sains Dengan Pendidikan (Kepujian) Major Fizik, Syaza Lokman berkata, program itu memberikan ilmu tambahan luar kuliah yang amat berguna kepada beliau dan rakan-rakan untuk menjadi guru Fizik cemerlang selepas bergraduat nanti.

“Saya menyedari betapa pentingnya cara pengajaran Fizik seseorang guru akan mempengaruhi minat dan persepsi pelajar terhadap mata pelajaran ini. Saya akan mempraktikkan  ilmu yang dipelajari dalam program ini dan memperkasakannya pada masa depan”.

Pengetua SGS, Hajah Azizah Haji Musa berkata, program itu diharap akan melonjakkan prestasi pelajar  yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun nanti.

Beliau berharap program itu terus dilaksanakan pada masa akan datang untuk pembangunan pelajar dalam bidang Fizik dan kejuruteraan. - UPM


WXDdDA7~