UPM Anjur Seminar Bincang Cabaran Pengamal Perhubungan Awam Dalam Media Sosial | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM ANJUR SEMINAR BINCANG CABARAN PENGAMAL PERHUBUNGAN AWAM DALAM MEDIA SOSIAL

UPM anjur seminar bincang cabaran pengamal perhubungan awam dalam media sosial

By Noor Eszereen Juferi
Photos by Marina Ismail




SERDANG, 19 Mei — Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Seminar Perhubungan Awam Tahunan Ke-2 yang membincangkan cabaran yang dihadapi pengamal perhubungan awam dalam media sosial.

Antara panel yang hadir pada sesi dialog itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman; Pengurus Besar Kanan, Strategi Komunikasi Kumpulan daripada PETRONAS, Liz Kamaruddin dan pelakon, Hans Isaac.

Penasihat program, Dr. Nurul Ain Mohd Hasan berkata fokus seminar yang bertajuk ‘To have or not to have? Understanding Public Relations Roles in the Social Media' itu bertujuan mewujudkan platform antara pengamal perhubungan awam serta ahli akademik dan pelajar UPM  membincangkan mengenai amalan semasa perhubungan awam.

 



“Seminar anjuran pelajar Master Komunikasi Korporat ini untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran soft skill serta mempelajari aspek pengendalian majlis dan perhubungan awam yang akan dipraktikkan di dunia profesional selepas tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata seminar itu juga bertujuan menggalakkan pembabitan industri dalam akademik melalui perkongsian pengalaman bagi mempertingkatkan networking dengan pemegang taruh dalam industri berkenaan.

“Pembabitan pihak industri dalam pendidikan secara langsung akan memanfaatkan UPM terutama dalam perkongsian kepakaran untuk pendedahan pelajar dalam menerokai bidang perhubungan awam,” katanya.

Selain itu, mini karnival juga diadakan yang mempamerkan kegiatan usahawan pelajar UPM yang menggunakan platform media sosial sebagai satu cara untuk menjalankan perniagaan.

Sementara itu, pelajar Master Komunikasi Korporat, Siti Badariah Abu Bakar, 33, berkata seminar itu secara langsung memberikan input baharu kepada beliau untuk penambahbaikan mutu perhubungan awam melalui platform media sosial.

“Seminar ini relevan kerana pada masa ini peranan perhubungan awam secara langsung ‘tercabar’ dengan penyebaran maklumat yang kurang tepat melalui media sosial secara berleluasa oleh pengguna,” katanya yang bertugas sebagai Eksekutif Bahagian Komunikasi Perniagaan dan Penyebaran Maklumat di National Institute of Occupational Safety & Health (NIOSH) Malaysia.

Rakannya, Hilya Abd. Manaf, 28, berkata seminar itu memberi pendedahan baharu kepada beliau dalam mengenali amalan perhubungan awam pada masa kini.

“Saya gembira dapat menyertai seminar ini kerana diberi pendedahan secara lebih luas oleh panel jemputan mengenai peranan pengamal perhubungan awam di sektor kerajaan dan swasta daripada aspek yang berbeza,” katanya. - UPM

 


Updated:: [hairul_nizam]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
B1498200507