UPM Anjur Eksplorasi Sains, Tingkat Pemahaman Hala Tuju Pelajar Selepas SPM | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM ANJUR EKSPLORASI SAINS, TINGKAT PEMAHAMAN HALA TUJU PELAJAR SELEPAS SPM

UPM anjur Eksplorasi Sains, tingkat pemahaman hala tuju pelajar selepas SPM


Oleh: Dr Yap Wing Fen

SERDANG, 30 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Eksplorasi Sains yang disertai 38 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) baru-baru ini.

Program yang merupakan jalinan lanjutan antara Fakulti Sains UPM bersama SEMESTI itu diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Dr. Yap Wing Fen dan dibantu oleh 12 Ahli Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains UPM (FaSSA) bersama Kelab Mahasiswa Fizik yang berperanan sebagai fasilitator.

Dekan Fakulti Sains UPM, Prof. Dr. Zainal Abidin Talib berkata program itu dapat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kebaikan memilih sains pada peringkat asasi dan memberi semangat kepada mereka untuk terus mempelajari bidang STEM selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Program ini wajar diteruskan kepada pelajar sekolah untuk mereka mengenalpasti dengan lebih luas hala tuju dalam pengajian tinggi apabila mereka membuat pemilihan di universiti kelak,” katanya.



Pensyarah Kanan, Jabatan Fizik, Dr. Yap  Wing Fen pula berkata matlamat utama program itu adalah untuk meningkatkan pencapaian pelajar dan memperkukuhkan pengetahuan serta kemahiran mereka dalam bidang sains.

“Program ini juga memberi pendedahan awal kepada peserta terhadap bidang sains yang boleh diceburi di UPM serta kerjaya-kerjaya bidang sains yang sememangnya luas,” katanya.

Program berkenaan turut memaparkan mengenai pentingnya saintis termasuk ahli fizik, kimia, biologi dan matematik dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program itu adalah ‘Pentingnya Saintis di Dunia’, ‘Eksplorasi Physicist & Chemist’, ‘Jelajah Muzium Biologi’, ‘Jelajah Gedung Ilmu’ dan ‘Selangkah ke Asasi Sains Pertanian UPM’.



Ketua Panitia Fizik SEMESTI, Maisara Md Yon pula berkata pelajar umumnya merasakan subjek sains amat susah dan tidak menguntungkan serta cenderung bertukar bidang ke jurusan lain apabila ke peringkat matrikulasi atau asasi.

Justeru katanya, penganjuran program itu boleh mengubah persepsi dan meningkatkan keyakinan pelajar yang bakal menduduki SPM pada bulan November ini.

Pelajar SEMESTI Alif Nur Aiman Azman Nor berkata program tersebut merupakan pengalaman baharu baginya, dan beliau bersama rakan-rakan berpeluang melawat makmal pengajaran dan penyelidikan di sekitar fakulti itu.

“Saya amat teruja dengan alat-alat canggih dalam makmal terutamanya makmal fizik yang saya dan kawan-kawan tidak pernah jumpa sebelum ini. Saya ingin mendalami ilmu fizik apabila melanjutkan pelajaran ke universiti kelak,” katanya. - UPM


Updated:: [hairul_nizam]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
B1498256267