TAKLIMAT AUDIT PENGEKALAN SWAAKREDITASI | Universiti Putra Malaysia
TAKLIMAT AUDIT PENGEKALAN SWAAKREDITASI


SERDANG, 6 April – UPM akan menjalani Audit Pengekalan Swaakreditasi yang dijadualkan pada 28 September hingga 2 Oktober 2015 yang akan dilaksanakan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai sebahagian syarat penilaian semula institusi yang telah dianugerahkan status swaakreditasi sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun.

UPM yang menerima Status Swaakreditasi pada 29 April 2010 membolehkan universiti itu mengakreditasi program pengajian sendiri tanpa perlu mendapatkan kelulusan MQA dan KPM.

Sebagai persediaan audit tersebut, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) telah menganjurkan taklimat kepada semua pegawai kanan dan pegawai yang terlibat secara langsung dalam proses jaminan kualiti akademik UPM.



Pengarah CoSComm, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, berkata taklimat itu penting untuk memastikan semua pegawai utama universiti dapat membuat persediaan lebih awal, sekali gus meningkatkan kesedaran pemegang taruh terhadap pentingnya status swaakreditasi kepada UPM.

“UPM perlu memastikan jaminan kualiti akademik sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa supaya selari dengan keperluan standard antarabangsa dan mematuhi standard yang ditetapkan oleh MQA dan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) serta badan profesional yang berkaitan”, katanya ketika menyampaikan taklimat audit pengekalan swaakreditasi di Auditorium Fakulti Kejuruteraan, di sini, semalam.



Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsuddin dan dihadiri lebih daripada 150 pegawai utama UPM yang terdiri daripada Dekan, Pengarah, Ketua Bahagian, Jawatankuasa Penyelarasan Swaakreditasi dan Pegawai Tadbir Fakulti.


Updated:: [hairul_nizam]

AACSB International SIRIM UKAS