| Universiti Putra Malaysia

Projek bioresin pengganti plastik komponen biokomposit kabin kapal terbang

Oleh Norizahamalina Ramli
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 6 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalin kerjasama bersama Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC), Malayan Adhesives and Chemicals Sdn.Bhd (MACSB) dan Coorperative Research Centre For Advance Composite Structures Ltd. Australia (CRC-ACS) untuk menjalankan penyelidikan projek bioresin iaitu pengganti plastik untuk digunakan sebagai komponen biokomposit kabin kapal terbang.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata kerjasama antarabangsa itu dilihat sebagai elemen penting dalam pembangunan akademik universiti dan peningkatan prestij antarabangsa.

“Projek ini akan melibatkan penyelidik yang terdiri daripada pelajar siswazah UPM. Jangkaan untuk projek ini selesai adalah dalam masa tiga tahun dengan anggaran RM1 juta.



“Bioresin adalah produk mesra alam yang tidak mudah terbakar dan cabaran penyelidikan ini adalah untuk mendapatkan bahan dalam komposisi yang tertentu supaya ianya setanding daripada segi kekuatan yang ada pada bahan yang digunakan pada masa kini,” katanya semasa majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) dengan AMIC, MACSB dan CRC-ACS di sini.

Pada majlis itu, UPM diwakili Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi; MACSB oleh Pengurus Besar, Lim Kian Joo; dan AMIC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Shamsul Kamar Abu Samah serta Timbalan Ketua Pegawai Teknologi, Dr Liew Kan Ern.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof.Dr.-Ing.lr. Renuganth Varatharajoo serta Pegawai Penyelidikan dan Pembangunan MACSB, Rafizah Mansor.

Pengurus Projek Bioresin, Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan berkata hasil penyelidikan itu akan memberi manfaat kepada industri penerbangan dari luar dan dalam negara untuk memperbaharui material struktur dalaman pesawat dengan menggunakan bahan gentian asli kalis api.

“Projek ini memainkan peranan yang amat penting dalam penyelidikan akademik di UPM dan keunikan projek ini adalah kita menggunakan unsur pertanian dalam membangunkan teknologi yang boleh dimanfaatkan di masa depan,” katanya.-UPM


WXDcSAR~