Produk Kawal Penyakit Pangkal Batang Kelapa Sawit GanoCare Dikomersil | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » PRODUK KAWAL PENYAKIT PANGKAL BATANG KELAPA SAWIT GANOCARE DIKOMERSIL

Produk kawal penyakit pangkal batang kelapa sawit GanoCare dikomersil

By Azman Zakaria
Photos by Marina Ismail


SERDANG, 19 Mei (UPM) – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya menghasilkan baja organik, diberi nama  GanoCare bagi mengawal penyakit reput pangkal batang (BSR) kelapa sawit yang disebabkan kulat Ganoderma boninense, yang semakin mengancam tanaman itu.

Produk itu bakal memberi faedah yang besar kepada industri kelapa sawit bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia melalui pengawalan jangkitan penyakit BSR kelapa sawit.

Penyelidik dan pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Mohamed Hanafi Musa dan penyelidik dari MPOB, Dr. Idris Abu Seman  yang menjalankan kajian sejak 2008 berjaya menghasilkan baja organik itu daripada serbuk tandan kosong buah (EFB) kelapa sawit dan beneficial elements bagi mengawal BSR.



Prof. Dr. Mohamed Hanafi berkata GanoCare akan menguatkan sel akar dan ketahanan akar terhadap penyakit Ganoderma yang menyerang dari akar seterusnya menyebabkan pangkal pokok reput dan mengeluarkan kulat atau cendawan.

Katanya, penggunaan produk itu akan membolehkan pokok kelapa sawit mengeluarkan hasil dengan kuantiti yang sepatutnya serta dapat mengelakkan kerugian daripada segi ekonomi dan seterusnya meningkatkan pendapatan industri berkenaan.

“GanoCare sesuai digunakan pada kelapa sawit di pelbagai peringkat umur sama ada peringkat anak benih kelapa sawit di nurseri, semasa menanam, pra matang mahupun matang di ladang.



“Sehingga kini  belum ada produk khusus untuk tujuan kawalan dan pencegahan penyakit yang boleh digunakan sebagai ‘baja’ dari peringkat nurseri hingga ke peringkat pengeluaran hasil kelapa sawit di ladang,” katanya.

Di Malaysia, penyakit Ganoderma mula dikesan pada tahun 1930. Bancian oleh MPOB pada 2010 menunjukkan penyakit itu berada pada kadar 3.71 peratus iaitu 59,148 hektar daripada jumlah keluasan 1.594 juta hektar yang dibanci dan menyebabkan kerugian hasil Tandan Buah Segar (FFB) sawit antara RM1.5 bilon hingga RM1.8 bilion.

Dr. Idris pula berkata GanoCare mudah digunakan dan boleh ditabur di sekeliling pokok.



Katanya, kajian keberkesanan GanoCare dilakukan secara besar-besaran pada peringkat nurseri dan ladang di ladang kelapa sawit FELCRA Plantation Services Sdn Bhd (FPSSB) di Seberang Perak.  

FELCRA mensasarkan untuk mengeluarkan 5,000 tan metrik produk itu tahun ini termasuk untuk pasaran Indoensia.

Majlis pelancaran GanoCare dilakukan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah di Fakulti Pertanian UPM. Turut hadir Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan; Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan)  MPOB, Dr Ahmad Khusairi Din; dan Ketua Pegawai Eskekutif FELCRA Bhd, Datuk Ramlee Abu Bakar.


Updated:: [hairul_nizam]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
B1498733181