Perlu Sanggup Berjauhan Dari Keluarga Untuk Timba Ilmu | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Perlu sanggup berjauhan dari keluarga untuk timba ilmu

Perlu sanggup berjauhan dari keluarga untuk timba ilmu

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Marina Ismail, Noor Azreen Awang & Mohd Hasrul Hamdan

SERDANG, 6 Nov – “Demi menimba ilmu, seseorang itu perlu sanggup untuk merantau dan berjauhan daripada keluarga. Pengorbanan seperti ini mesti dilakukan,” demikian kata Nazerita Lasumin, pelajar berasal dari Ranau, Sabah.

Hasil usaha dan pengorbanannya itu, Nazerita, 23, hari ini menerima ijazah Bacelor Sains pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-41 di sini.

“Suasana memang berbeza, lebiih-lebih lagi berjauhan dengan keluarga tetapi kita mesti cepat berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” katanya.

Anak kelapan daripada sembilan adik beradik itu berkata, sekiranya berdepan masalah, ia juga perlu diselesaikan sendiri kecuali jika memang memerlukan pandangan dan nasihat keluarga..

“Saya tidak mahu menyusahkan keluarga, saya tidak mahu mereka risau. Begitupun saya selalu berhubung dengan keluarga bertanya khabar,” katanya.

Katanya, beliau bersyukur dan gembira kerana dapat menamatkan pengajian bacelor di dalam tempoh masanya (on time).      

Menurutnya, sepanjang tempoh pengajian di UPM, beliau pulang ke Sabah dua atau tiga kali setahun tetapi menjelang peperiksaan akhir tidak pulang lebih setahun kerana banyak tugasan yang perlu diselesaikan.

“Ini antara pengorbanan yang perlu ditempuh… tidak boleh pulang berjumpa keluarga dalam tempoh yang agak lama,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat sarjana tahun depan dalam bidang alam sekitar. - UPM

Updated:: 06/11/2017 [syifarida]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511362207