| Universiti Putra Malaysia

Pelajar PROBEST tuai hasil rock melon menggunakan kaedah hidroponik

SERDANG, 28 Feb- 10 pelajar Program Inkubator Pembangunan Belia Tani di Kalangan Siswazah (PROBEST) berjaya menuai Tanaman Rock Melon menggunakan kaedah hidroponik di ladang Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kaedah hidroponik telah diaplikasikan oleh 10 pelajar yang menyertai PROBEST mengusahakan tanaman buah-buahan dan menjadi seorang usahawan dalam bidang pertanian.

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, pelajar PROBEST yang mengikuti Modul Tanaman Rock Melon telah mempelajari kaedah hidroponik secara praktikal dapat menghasilkan makanan harian di bandar dan berjaya menghasilkan keuntungan dari hasil penjualan rock melon.

"Usaha ini seiring dengan hasrat perdana menteri untuk menggalakan pertanian bandar. Saya sangat gembira program ini telah dilaksanakan sebagai strategi memanfaatkan kawasan lapang bagi tujuan keterjaminan makanan dengan dana yang disalurkan oleh Agrobank Centre of Excellence (ACE)," katanya.

Menurut pelajar tahun dua, Bachelor Sains Perniagan Tani dengan Kepujian, Fakulti Pertanian, UPM, Muhammad Hakimi Zarapi berkata, program ini telah melatih dirinya untuk menjadi seorang usahawan pertanian.

"Saya sangat bersyukur apabila dapat mempelajari kaedah hidroponik bagi penanaman rock melon kerana kaedah ini jarang digunakan bagi penghasilan buah rock melon kerana kos yang agak tinggi.


Namun kaedah hidroponik ini mempunyai banyak kelebihannya dan menjimatkan kos pembelian baja serta ia tersusun dengan lebih kemas dan teratur.

"Tamat sahaja PROBEST, saya ingin mengaplikasikan kaedah hidroponik di kampung halaman saya bagi menghasilkan tanaman rock melon yang sangat berpotensi tinggi," katanya.

PROBEST mendapat sokongan pendanaan oleh Bank Pertanian Malaysia (Agrobank) dan Takaful Malaysia melalui dana wakaf dan WAZAN UPM.

Dalam pada itu, pelajar Bachelor Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM, Mohammad Zakariya Minsuri memberitahu minatnya dalam pertanian mendorong untuk menyertai PROBEST bagi mendapatkan ilmu pertanian dan juga keushawanan.

"Tamat sahaja PROBEST saya ingin mengusahakan kebun dan menjadi seorang usahawan pertanian dengan mengaplikasikan internet benda (IOT) yang telah dipelajarinya.

"Walaupun saya pelajar Bachelor Sains Komputer dan Teknologi Maklumat namun ia bukanlah penghalang untuk turut menceburi bidang pertanian yang sangat luas ini.

Saya bercita-cita ingin membantu semua petani di luar sana mengusahakan ladang mereka menggunakan IOT dengan harga yang murah suatu hari nanti," ujarnya.

SXEbPAM~