| Universiti Putra Malaysia

MyAgeing™ anjur forum nasional tingkat kesedaran vaksinasi warga emas

**This article was published in Bahasa Melayu and has no translation in English

Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 20 Feb – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Forum Nasional untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai pelan vaksinasi bagi warga emas dan meneroka isu keengganan vaksinasi (vaccine hesitation).

Ia dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penjagaan Warga Emas Malaysia (AgeCOpe), Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Timbalan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata suntikan vaksinasi akan diberikan seawal mungkin dan perlu diutamakan kepada warga emas petugas barisan hadapan di pusat jagaan warga emas.

“Vaksinasi kakitangan dan penghuni kakitangan warga emas adalah satu usaha mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Kita perlu mencapai muafakat daripada segi mekanisme pelaksanaan yang paling berkesan untuk semua pihak,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran forum itu dapat menjadi medan perkongsian dan sebagai platform untuk maklumbalas dari pemilik, pengendali, kakitangan, penghuni dan ahli keluarga di pusat jagaan berkediaman warga emas, sama ada yang berdaftar mahupun tidak, dalam Program Vaksinasi Nasional.

“Daripada segi pelaksanaan vaksinasi, pusat jagaan warga emas dan rumah jagaan kejururawatan adalah unik kerana vaksinasi perlu dijalankan secara on-site di premis pusat jagaan dan bukan melalui kaedah pendaftaran dan temujanji seperti yang dikhususkan kepada orang awam,” katanya.

Pengarah MyAgeing™, Prof. Madya Ir. Dr. Siti Anom Ahmad berkata forum itu meneroka isu keengganan vaksinasi serta kaedah pelaksanaan vaksinasi yang terbaik dengan mengambilkira pandangan dan kesediaan pelbagai pihak.

Katanya, pelaksanaan vaksinasi adalah penting untuk kakitangan dan penghuni pusat jagaan berkediaman warga emas termasuk institusi kebajikan kerajaan, pusat jagaan warga emas dan rumah jagaan kejururawatan.

Beliau berkata, dengan merungkai secara jelas mengenai vaksinasi pada forum itu, ia diharap dapat mengurang kesangsian mengenai vaksin COVID-19 serta cara melaksana program vaksinasi dan langkah-langkah yang perlu dititikberatkan sebelum vaksinasi dilaksanakan.

Turut hadir, Ketua Perwakilan dan Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Jacqueline Lo Ying-Ru.

Beliau juga menyentuh tentang keperluan vaksinasi kepada warga emas dan petugas barisan hadapan di pusat jagaan untuk mengelakkan penularan dan kematian yang banyak seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah. Hampir dua pertiga daripada jumlah rekod kematian COVID-19 adalah daripada kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.

KKM telah menjalankan saringan ujian COVID-19 pada Mei 2020 dan memulakan proses pra-pendaftaran bagi vaksin COVID-19 sejak Januari 2021 untuk merancang proses vaksinasi kakitangan dan penghuni pusat jagaan warga emas dan rumah jagaan kejururawatan.  - UPM

WXDdEA0~