Misi Sukarelawan Siswa UPM We Volunter Mission UPM – Vietnam Raih Kejayaan | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Misi Sukarelawan Siswa UPM We Volunter Mission UPM – Vietnam raih kejayaan

Misi Sukarelawan Siswa UPM We Volunter Mission UPM – Vietnam raih kejayaan

Oleh Rizal Razak



SERDANG – Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Education Malaysia Ho Chi Minh City dengan kerjasama Youth Union Ho Chi Minh dan Representative Islamic Community Vietnam buat julung kalinya berjaya melaksanakan Misi Sukarelawan Siswa UPM ke Vietnam yang berlangsung di Tay Ninh Province, Vietnam baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata  program ini adalah selaras dengan hasrat UPM untuk melahirkan Ikon Sukarelawan Mahasiswa UPM  di pentas global.

“Misi sukarelawan ini telah memberi impak yang positif kepada para sukarelawan. Mereka bukan sahaja dapat menimba ilmu yang berfaedah, malah misi ini telah menjadikan mereka lebih tabah, fleksibel dan bijaksana dalam menangani isu-isu berkaitan kemasyarakatan.

 



“Di samping itu, para sukarelawan ini turut membantu dalam mempromosi serta memberi galakan kepada anak-anak serta generasi muda komuniti tersebut untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya, misi We Volunteer Mission UPM-Vietnam bertujuan memberi pendedahan secara komprehensif kepada pelajar UPM yang terpilih untuk mendapatkan pengalaman menjalankan program sukarelawan berdasarkan “right volunteer for the right job” iaitu menyumbangkan kemahiran yang mereka pelajari di institusi pengajian tinggi (IPT) kepada komuniti setempat di luar negara.

 



“Sepanjang berada di Vietnam, para sukarelawan berpeluang menjiwai kehidupan dan memahami cara hidup komuniti sambil membantu dalam mendidik anak-anak kampung dengan memberi tumpuan kepada pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknik ‘fun learning’ yang interaktif dengan memberi penekanan kepada subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Arab.

“Menariknya sepanjang misi sukarelawan ini, para sukarelawan telah memberi khidmat bakti kepada komuniti melalui kerja sukarela (volunteer work) seperti pembinaan sistem saliran perparitan, membina kolam takungan air di samping pembinaan mural di sekolah,” katanya.



Program ini adalah selaras dengan lonjakan pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi (2015-2025 (PPPM-PT) untuk melahirkan graduan holistik dan seimbang melalui penglibatan pelajar dalam kokurikulum, aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan, kemahiran dan kepimpinan.

Katanya, mahasiswa adalah harapan rakyat dan oleh itu mereka harus menggunakan segala ilmu yang diperolehi di IPT untuk menyumbang bakti kepada masyarakat.




Beliau yakin semangat berbakti kepada masyarakat ini akan memberikan mereka lebih motivasi untuk terus menyumbang setelah bergelar graduan kelak.- UPM

 


Updated:: [hairul_nizam]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1503557378