Kebolehpasaran Graduan UPM 82.2 Peratus, Tertinggi Di Kalangan IPT | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Kebolehpasaran graduan UPM 82.2 peratus, tertinggi di kalangan IPT

Kebolehpasaran graduan UPM 82.2 peratus, tertinggi di kalangan IPT

By Azman Zakaria
Photos by Marina Ismail


SERDANG, 6 Mei  – Kebolehpasaran graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) menjangkau 82.2 peratus, iaitu yang tertinggi di kalangan institusi pengajian tinggi di negara ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata 82.2 peratus daripada graduan UPM memperoleh pekerjaan dalam tempoh tiga bulan selepas konvokesyen mereka.

Katanya, peratusan itu dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini bagi tahun 2014.



“Angka itu bermaksud kualiti graduan UPM adalah membanggakan. Cuma kira-kira 18 peratus sahaja daripada mereka yang tidak mendapat pekerjaan dalam tempoh itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Expo Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPM 2015 (CEM Expo UPM 2015), di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.

Untuk tahun 2015 ini pula, beliau berkata UPM meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu 83 peratus kebolehpasaran graduan, iaitu bagi mereka yang akan menyertai Majlis Konvokesyen pada Oktober ini.

Katanya, antara sebab ada yang tidak memperoleh pekerjaan tiga bulan selepas menamatkan pengajian ialah ada yang memilih untuk tidak bekerja kerana gaji yang diterima tidak setimpal dengan kos yang perlu ditanggung seperti kos pengangkutan dan kos menghantar anak ke pusat penjagaan.



Menurutnya, ada pula yang terlalu memilih pekerjaan dengan mahukan kerja yang berkaitan dengan bidang akademik yang dipelajari sahaja.

“Graduan perlu bersifat fleksible dan terbuka, mereka perlu merebut setiap peluang kerja yang ada dahulu,” katanya.

Beliau juga berkata, kelayakan akademik bukan penentu dalam memperoleh pekerjaan kerana majikan akan juga mengambil kira faktor lain seperti kemahiran insaniah (soft skill).

Justeru katanya, CEM melaksanakan tanggungjawab membantu pelajar meningkatkan kemahiran dalam bidang keusahawanan, manakala Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM mendedahkan pelajar yang bakal menamatkan pengajian kepada program Keterampilan Graduan.

Lebih 60 syarikat menyertai CEM Expo UPM 2015 itu,yang menawarkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan kepada bakal graduan. Bilangan syarikat yang menyertai expo itu meningkat daripada kira-kira 50 syarikat tahun lalu, dengan ada yang menyertainya untuk kali yang ketiga.



Expo bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar, terutama pelajar tahun akhir UPM untuk mendapatkan pekerjaan. UPM melahirkan kira-kira 6,000 pelajar setiap tahun.

Pada majlis itu, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar turut melancarkan buku Bersama Membina Usahawan Siswa yang memuatkan butiran graduan UPM yang melibatkan diri dalam bidang keusahawan serta latar belakang syarikat dan perniagaan yang dijalankan.

Katanya, pada tahun lalu 52 graduan UPM melibatkan diri dalam keusahawanan, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu seramai 50 graduan, manakala untuk tahun ini UPM mensasarkan 60 graduan menceburi bidang itu. Setakat ini bagi tahun ini lebih 40 graduan sudah membabitkan diri dalam keusahawanan. - ends


Updated:: [hairul_nizam]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1513491505