Jual Burger, Sate Untuk Biaya Kos Belajar | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Jual burger, sate untuk biaya kos belajar

Jual burger, sate untuk biaya kos belajar

Oleh Sarah Nabilah Hamdan & Nur Syamimie Mohd Rozali

Foto oleh Marina Ismail, Noor Azreen Awang & Mohd Hasrul Hamdan

SERDANG , 7 Nov – Dengan tekad tidak mahu membebankan ibu bapa dan tidak mahu berhutang dengan PTPTN, Muhammad Najib Abu Bakar bekerja sendiri sepanjang pengajian untuk menampung yuran pembelajaran, sehingga berjaya menggenggam ijazah Bacelor Sains Pertanian.

Muhammad Najib, 23, melakukan kerja sambilan pada sebelah malam dengan   menjual burger di Kolej Serumpun, Universiti Putra Malaysia (UPM) tiga kali seminggu serta menjual sate di Seksyen 13, Bangi.

Anak sulung daripada empat beradik ini juga menjadi promoter akhbar Utusan pada tahun 2015, serta mengambil upah membantu kerja-kerja penyelidikan di Fakulti Pertanian UPM seperti menuai tanaman untuk pengumpulan data.

Anak kelahiran Sabah ini yang kini menetap di Kedah, hari ini mampu mengukir senyuman buat kedua ibu bapanya yang masing-masing bekerja sebagai guru, dengan menggenggam ijazah Bacelor Sains Pertanian pada Majlis Konvokesyen UPM ke-41, di sini.

"Kepada mereka yang mahu melakukan kerja sambilan, usah pedulikan pandangan orang lain dan jangan berkira dengan gaji yang ditawarkan kerana pengalaman itulah yang penting," katanya yang bercita-cita menjadi usahawan fertigasi dan menjual alat-alat pertanian.

Antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Najib sepanjang bekerja ialah masalah pengangkutan ke tempat kerja sekiranya hujan kerana beliau menunggang motosikal untuk bergerak ke sesuatu tempat. - UPM 

 

Updated:: 08/11/2017 [syifarida]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511362205