Ibu Dan Anak Dapat Ijazah Master Serentak | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Ibu dan anak dapat ijazah Master serentak

Ibu dan anak dapat ijazah Master serentak

By Azman Zakaria

Photo by Marina Ismail, Noor Azreen Awang & Mohd Hasrul Hamdan


 

 

SERDANG, 7 Nov - Batasan usia dan tanggungjawab sebagai suri rumah tidak menghalang seorang ibu untuk menuntut ilmu dan belajar dalam kelas yang sama dengan anaknya, sehingga kedua-duanya berjaya memperoleh ijazah Master.

Kedua-dua mereka Mazlifah Khwaja Kamaluddin, 56, dan anaknya Aiman Nabillah Zulkafli, 27,  merakam detik bersejarah dan berkongsi kegembiraan apabila masing-masing menerima Ijazah Master Komunikasi Korporat, pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-41 di sini.

Mazlifah Khwaja mula mengikuti pengajian itu pada awal 2015, manakala Aiman Nabillah pada awal 2016 tetapi berjaya menghabiskan pengajian dalam masa yang sama dengan ibunya.

Mazlifah Khwaja berkata pada peringkat awalnya, beliau berasa sedikit janggal belajar pada usia yang semakin meningkat  dan mengikuti program pengajian yang sama dengan anaknya, tetapi lama kelamaan ia bertukar kepada rasa seronok.

“Bukan mudah untuk belajar ketika usia semakin meningkat. Paling sukar bagi saya ialah untuk mengingati dan menghafal apa yang dipelajari, saya kena baca berulang kali,” kata ibu kepada empat anak ini yang berasal dari Serdang.

Katanya, beliau dan suaminya. Zulkafli Bakar, 56, juga perlu membahagikan masa untuk menjaga anak bongsu mereka Anuar Ridwan, 16, yang mengalami autisme.   

Mazlifah Khwaja, bekas kakitangan awam dan pernah bekerja di sektor swasta sebelum bersara, berkata, minatnya untuk belajar bidang komunikasi lahir kerana menyedari bidang berkenaan penting dan boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan semua jenis pekerjaan.

Aiman Nabillah pula berkata, beliau seronok dapat belajar dalam kelas yang sama dengan ibunya pada semester akhir, dan sama-sama pula dapat menggenggam ijazah master pada majlis konvokesyen yang sama. - UPM

 

Updated:: 08/11/2017 [syifarida]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511362288