| Universiti Putra Malaysia

GWB2024@UPM RAPATKAN HUBUNGAN SAINTIS SAINS WANITA

Oleh:  Siti Munirah Mohd Faudzi
 
 
SERDANG, 7 Mac – Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Institut Kimia Malaysia (IKM) telah menganjurkan IUPAC Global Women’s Breakfast 2024 @ UPM (GWB2024@UPM) di NaturMeds, IBS, UPM, baru-baru ini.
 
Pengerusi Program, Prof. Madya Dr. Siti Munirah Mohd Faudzi berkata program ini dianjurkan sempena Hari Wanita dan Gadis dalam Sains Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan matlamat untuk mewujudkan rangkaian aktif semua jantina bagi menangani halangan kesaksamaan jantina dalam bidang ini.
 
 
“Melalui penganjuran program ini, saintis daripada pelbagai bidang penyelidikan dapat berhimpun ketika sesi sarapan pagi dan saling bertukar pandangan serta saling berkongsi perkembangan dalam bidang masing-masing.
 
“Penganjuran GWB2024@UPM ini membuka ruang bagi menonjolkan pendekatan proaktif NaturMeds UPM dalam mempamerkan perkhidmatan makmal dan menggalakkan kerjasama penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan dalam bidang khusus bioubatan dan bioterapeutik,” katanya.
 
Katanya lagi, sepanjang lima tahun penganjuran, lebih daripada 1500 acara GWB telah diadakan di 100 negara di seluruh dunia.
 
 
Para peserta turut di bawa melawat kawasan sekitar IBS termasuklah makmal Fitokimia, Makmal Spektroskopi dan Makmal Mekanism Drug dan Bioasai, untuk melihat fasiliti dan perkhidmatan yang ditawarkan.
 
“Turut diadakan sesi webinar bersama panel jemputan anjuran IKM dan aktiviti pembuatan lilin daripada minyak masak terpakai kelolaan Dr. Sazlinda Kamaruzaman dan Dr. Ili Syazana Johari,” katanya. -UPM

WXEbNA~