| Universiti Putra Malaysia

Graduan perlu cabar diri keluar daripada kepompong biasa

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Marina Ismail dan Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 16 Nov - Graduan perlu berani mencabar diri untuk keluar daripada kepompong biasa bagi mentransformasikan diri mereka daripada individu biasa kepada individu luar biasa, kata Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Lim Ah Lek.

Katanya, pengibatan pelajar bukan sahaja harus tertumpu kepada bidang akademik tetapi juga kepemimpinan, pengurusan organisasi, kebudayaan, keusahawanan serta sukan dan rekreasi bagi menjadikan diri mereka mahasiswa holistik.

Beliau berkata, ia termasuk meluaskan skop pemikiran bahawa kehidupan di universiti bukan berlandaskan akademik semata-mata kerana pengalaman yang diperoleh daripada pelbagai aktiviti yang disertai dapat membuka ruang dan peluang kepada setiap pelajar untuk menimba ilmu dan menambah kemahiran.

“Gunakanlah semua ilmu yang anda peroleh ketika berada di sini, untuk membantu masyarakat. Ikutlah resam resmi padi, semakin berisi semakin tunduk ke bumi, sematkan juga semangat “Berilmu Berbakti” dalam diri untuk membuktikan bahawa graduan UPM sememangnya berkualiti,” katanya ketika berucap pada sesi kedua, Majlis Konvokesyen ke-43 UPM di sini hari ini.

 

Sebagai graduan yang cemerlang, katanya, pembangunan dan kecemerlangan secara holistik juga perlu diberikan perhatian.

“Tunjukkanlah pada masyarakat bahawa graduan UPM bukan sahaja hebat dalam akademik, tetapi juga hebat daripada aspek sahsiah,” katanya.

Beliau juga berkata sebagai golongan terpelajar, graduan perlu sentiasa cermat dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan.

Sehubungan itu, katanya, sifat ihsan amat penting untuk dihayati serta jujur terhadap ilmu.

“Lebih menebal nilai ihsan dalam diri seseorang, maka lebih tinggilah nilai integriti yang akan dizahirkan melalui sikap dan tindakannya,” katanya. - UPM

 

 

 

 

 

 

SXETMAk~