Fakulti Ekologi Manusia Gondol Anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Pentadbiran | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Fakulti Ekologi Manusia gondol anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Pentadbiran

Fakulti Ekologi Manusia gondol anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Pentadbiran

Oleh Alex Ardiansyah

Foto oleh Marina Ismail

 

SERDANG, 10 Nov - Fakulti Ekologi Manusia memenangi anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Pentadbiran, pada majlis sambutan Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan (HKIP) Universiti Putra Malaysia (UPM) 2017.

Kumpulan daripada fakulti itu menerima wang tunai RM2,000, sijil dan piala pusingan, pada majlis sambutan HKIP di sini hari ini.

Tempat kedua dimenangi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), manakala ketiga Fakulti Kejuruteraan.

Hadiah Mencipta Tema sambutan HKIP dimenangi DK Masni Pg Kifli dari Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dengan tema ‘Inovasi Mengilham Masa Depan Gemilang.’

Hadiah Idea Inovasi pula dimenangi oleh lima pencipta iaitu Farizal Muzammil Abdul Wahab (Fakulti Kejuruteraan), Johan Budiman Nurthani (Fakulti Kejuruteraan), Hanafiah Ismail (Perpustakaan Sultan Abdul Samad), Mohd Sopian Mohd Zin (Fakulti Perhutanan) dan Siti Nur Alifah Abdul Rahman (Sekolah Pengajian Siswazah).

Anugerah Kualiti Persekitaran Tempat Kerja dimenangi masing-masing oleh Fakulti Ekologi Manusia, Institut Pertanian Tropika & Sekuriti Makanan dan Perpustakaan Sultan Abdul Samad, manakala Anugerah Pengurusan Lean dimenangi PKU.

Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dimenangi Kumpulan Langit Putra dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi).

Sementara itu Anugerah Inovasi Perkhidmatan Kategori Teknikal  dimenangi Kumpulan Ladang 10 UPM (Fakulti Pertanian), manakala Kategori Pengurusan dimenangi Kumpulan The Core (Bahagian Audit Dalam), sementara Anugerah Pengurusan Laman Web diraih Pusat Alumni.

Anugerah Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan Terbaik Kategori A (Fakulti/Institut/Pusat/Bahagian/Pejabat yang mempunyai persekitaran pejabat) dimenangi Sekolah Pengajian Siswazah.

Bagi Kategori B (Fakulti/Institut/Pusat/Bahagian/Pejabat yang mempunyai gabungan persekitaran pejabat, makmal, bengkel, pertanian dan lain-lain) dimenangi Institut Biosains, manakala Kategori C (Kolej Kediaman) dimenangi Kolej Empat Belas.

Anugerah Indeks Akuantabiliti Terbaik (Aset dan Inventori PTJ melebihi 1,200 unit) dimenangi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Ketika berucap pada majlis itu, Naib Canselor, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata, semua warga UPM perlu terus menyemarakkan budaya kualiti dan inovasi dalam perkhidmatan kerana penghayatan kepada budaya itu menjadi penentu kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.

“Inovasi perlu menjadi budaya dan amalan yang sebati dalam setiap warga UPM, tidak kira peringkat dan skim perkhidmatan, bagi mencipta pelbagai produk dan pembaharuan untuk kita sentiasa cemerlang berdaya saing dalam industri pendidikan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan dalam kualiti penyampaian perkhidmatan amat penting agar UPM terus menjadi pilihan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) sama ada dari dalam mahupun luar negara. – UPM

Updated:: 14/11/2017 [syifarida]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511080784