Ambil Cuti Belajar Tanpa Gaji Bolehkan Adik Beradik Terima Ijazah Master Serentak | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Ambil cuti belajar tanpa gaji bolehkan adik beradik terima ijazah Master serentak

Ambil cuti belajar tanpa gaji bolehkan adik beradik terima ijazah Master serentak

SERDANG, 8 Nov -  “Saya perlu berkorban dengan mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan untuk memberi tumpuan kepada pelajaran terutama membabitkan kertas mata pelajaran teras,” kata R. Sheela.

Beliau berkata, itu membolehkannya menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah Master Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) serentak bersama abangnya R. Sivaneswaran yang menerima ijazah Master Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa).

Kedua-dua mereka menerima ijazah itu pada Majlis Konvokesyen Program Kerjasama Universiti Putra Malaysia-Institusi Pengajian Tinggi Swasta (UPM-IPTS) ke-19 di UPM hari ini.  Mereka adalah graduan Putra Business School (PBS), UPM.

Sheela, 31, yang bekerja di sebuah bank tempatan berkata, beliau berdepan dengan cabaran membahagikan masa antara kerja dan belajar kerana mengikuti pengajian itu secara sambilan.

“Ini menyebabkan saya perlu mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan tahun lepas (2016). Abang saya juga banyak membantu, walaupun berbeza kelas kami belajar bersama,” katanya.

Sivaneswaran, 39, Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Putrajaya pula mengikuti pengajian di PBS secara sepenuh masa.

“Melanjutkan pelajaran di tempat yang sama memberikan kelebihan buat kami kerana dapat mengulangi pelajaran bersama.

“Saya rasa gembira dan berbangga mendapat Master bersama adik. Kami dapat memenuhi harapan ibu T.Sakunthala yang sentiasa memberi motivasi untuk kami berjaya,” katanya. – UPM

Updated:: 09/11/2017 [syifarida]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511362271