Profil

PROF DATIN PADUKA SETIA DATO' DR AINI IDERIS, FASc

SSIS, DPMK, DSIS, PSK, KMN

Profesor Dr. Aini adalah lulusan ijazah Doktor Perubatan Veterinar (DVM) tahun 1979, dari Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia). Kemudian beliau melanjutkan pengajian pada peringkat pasca siswazah, iaitu Master Sains Veterinar (MVSc) dalam bidang Perubatan Avian, di Universiti Liverpool, England (1981), dan ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari UPM (1989), dalam bidang yang sama. Beliau seterusnya menjalani latihan Pasca Kedoktoran di Universiti California, Davis, USA (1990-1992), dan di Universiti Cornell, USA (1993), di mana beliau terlibat dalam penyelidikan patogenesis molekular.

Dari aspek penyelidikan, Profesor Aini adalah merupakan saintis yang terkenal dalam penyelidikan berkaitan pengawalan penyakit, dan penghasilan vaksin haiwan ternakan. Sehingga kini, beliau masih mengekalkan posisi sebagai ketua program penyelidikan perubatan avian, dan juga memegang tanggungjawab sebagai ketua projek Top-Down Bioteknologi Haiwan Kebangsaan. Penyelidikan beliau telah membawa kepada pengkomersialan vaksin penyakit Newcastle (NDV4-UPM) (1995), dan vaksin kultur tisu fowl pox (1996). Pada tahun 2005, pasukan penyelidikan beliau berjaya mengkomersilkan satu lagi vaksin ayam penting, iaitu vaksin penyakit berjangkit bursal (infectious bursal disease).  Pasukan penyelidikan beliau juga telah membangunkan beberapa kit diagnostik pantas untuk mengesan avian influenza (selsema burung), yang merupakan satu penyakit zoonotik, penyakit Newcastle dan Mycoplasmosis. Terbaharu, pasukannya sedang membangunkan vaksin halal, dengan menggunakan beberapa carrier yang berbeza di dalam bioreaktor, juga vaksin DNA.

Sebagai saintis terkemuka, beliau telah dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia (FASc). Beliau juga adalah merupakan Felo Pengasas bagi Malaysian `College of Veterinary Specialists’ (FMCVS), dan Felo bagi `Malaysian Scientific Association’  (FMSA). Pada Oktober 2011, beliau telah dipilih sebagai Felo `Islamic World Academy of Sciences’ (FIAS). Pada masa tersebut beliau adalah di antara 8 Felo wanita dari 100 orang Felo dari lebih 50 negara OIC. Pada tahun 2013, beliau sekali lagi diberi penghormatan dengan dilantik sebagai ahli Hall of Honour World Veterinary Poultry Association, daripada 52 ahli ulung dari seluroh dunia, atas sumbangan dan kepimpinan beliau kepada komuniti negara-negara membangun dalam penyelidikan dan pembangunan kesihatan avian.

Beliau terlibat secara aktif sebagai Ahli Academy of Sciences Council, Ahli `Malaysian College of Veterinary Specialists Council’ (MCVS), serta Ahli Lembaga Governan, International Medical University (IMU), International Medical College (IMC) dan Ahli Lembaga Pengarah, Yayasan Putra Business School. Beliau juga turut terlibat secara aktif dalam perkhidmatan sosial, sebagai Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Kanser Malaysia (MCRI) dan Ahli Eksekutif Majlis Kanser Nasional (MAKNA). Pada tahun 2015, beliau telah di lantik sebagai juri bagi tiga anugerah berprestij antarabangsa, iaitu: Mustafa Prize Award (bagi saintis terkemuka dari negara negara OIC), World Veterinary Poultry Association Vaccination Innovation Award dan Loreal Fellowship Award.

Pada tahun 2011, Prof. Aini telah menerima Anugerah Akademik Negara (AAN) 2010, Kategori Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk, berikutan kejayaan beliau bagi inovasi dan pengkomersilan vaksin  penyakit Newcastle (ND V4-UPM). Vaksin ini adalah produk pertama yang dikomersialkan hasil penyelidikan di institusi pengajian tinggi dan telah dipasarkan ke lebih 10 negara. AAN adalah anugerah pencapaian tertinggi yang diberikan kepada ahli akademik Malaysia. Pada 2013, beliau dipilih sebagai salah seorang ‘Top Research Scientists (TRSM). Beliau juga telah dipilih sebagai salah seorang daripada 10 penyelidik teratas untuk Anugerah Inovasi Negara 2012, dan juga menerima Anugerah Alumni Terbilang UPM 2012. Manakala antara anugerah penyelidikan lain yang diterima oleh Prof. Aini ialah; Anugerah Fellowship Naib Canselor - kategori Penyelidik Cemerlang (2007), Anugerah Penyelidik Biosains Cemerlang (2007), dan Anugerah Pengkomersilan (2008). Kumpulan penyelidikan beliau  turut menggondol Anugerah Inovasi Penyelidikan Sektor Awam dan Swasta (2008), di mana beliau sebagai penyelidik bersama.

Profesor Aini mempunyai pengalaman pentadbiran yang luas, selain daripada dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Antaranya adalah sebagai Pemangku Ketua Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, pada tahun 1989 dan 1990, Pengerusi Hospital Pengajaran Veterinar pada 1992-1998, Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, selama 9 tahun, iaitu pada 1992 hingga 2001, Dekan Sekolah Pengajian Siswazah, dari Mei 2001 hingga November 2008 (selama 8 tahun) dan Pengerusi Majlis Dekan Siswazah Institusi Pengajian Tinggi Awam, Malaysia, 2005-2008. Beliau juga merupakan pengerusi/ahli dalam pelbagai jawatankuasa di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (MOHE), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Beliau adalah Penyelaras bagi Pusat Kecemerlangan Burung Walit, di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani.

Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia dari Disember 2008 hingga 2013 dan merupakan Pengerusi bagi Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor/Rektor (Akademik dan Antarabangsa), pada masa tersebut. Seterusnya pada Oktober 2015 beliau dilantik sebagai Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia sehinggalah pada 1 Januari 2016 beliau dilantik sebagai Naib Canselor UPM yang ke-8.