Penglibatan Komuniti


Dalam usaha menambah aktiviti tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat, UPM telah mempergiatkan aktiviti pengembangan terutama dalam bidang pertanian dan bidang-bidang berkaitan selaras dengan hasrat universiti iaitu menjadi Pusat Pembelajaran dan Penyelidikan unggul yang memberi sumbangan kepada kemajuan manusia dan penerokaan ilmu melalui hubungan dengan pihak industri dan masyarakat. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Khidmat Pakar Pertanian dan Biosumber Tropika, Klinik Pakar Pertanian dan Pembelajaran Sepanjang Hayat/Kursus Jangka Pendek.

 Khidmat Pakar Pertanian dan Biosumber Tropika

UPM merupakan universiti yang aktif dalam khidmat masyarakat yang membolehkannya memberikan khidmat kepakaran kepada mereka yang memerlukan. Justeru, UPM menyediakan khidmat nasihat pakar kepada masyarakat awam yang meliputi pelbagai disiplin pertanian antaranya seperti tanaman perladangan, tanaman makanan haiwan dan ternakan, akuakultur, kesihatan ternakan, produk halal dan industri asas tani serta perniagaan ataupun keusahawanan. Khidmat ini dijalankan sepanjang tahun secara bersemuka semasa jerayawara pertanian UPM, melalui laman web interaktif dan telefon serta kunjungan peribadi ke UPM. Untuk maklumat lanjut, hubungi Pegawai Pertanian, Unit Pengembangan Pertanian.

En Basri Bakar
   03-89471813

  Klinik Pakar Pertanian

Hari Terbuka Bersama Pakar Pertanian (HTBPP) merupakan program yang dilancarkan kepada masyarakat awam untuk berkongsi kepakaran dari pelbagai bidang melalui khidmat nasihat dan rundingan. Program yang mengguna tema ‘Dari Gedung Ilmu ke Lapangan’ ini mensasarkan golongan petani, usahawan dan agensi pembangunan pertanian. Program ini juga dijalankan untuk membina kerjasama dengan kumpulan sasaran dalam membangunkan sektor pertanian setempat secara bersama. Program ini turut melibatkan integrasi teori dan praktikal serta pengalaman pembelajaran yang dirangka khusus berdasarkan permintaan dan juga analisis keperluan setempat untuk pembangunan secara holistik. Selain itu, permasalahan yang wujud diatasi dengan aktiviti intervensi seperti latihan dan penyelidikan. Untuk maklumat lanjut, hubungi Pegawai Pertanian, Unit Pengembangan Pertanian.

En Basri Bakar
   03-89471813

 Pembelajaran Sepanjang Hayat / Kursus Jangka Pendek

Meskipun memfokuskan kepada pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, UPM juga tidak melupakan tanggungjawabnya kepada masyarakat. Pembelajaran Sepanjang Hayat atau Kursus Jangka Pendek menyediakan perkhidmatan rundingan dan latihan melalui pengendalian kursus-kursus dalam penyebaran kepakaran dan maklumat mutakhir yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat awam. Program ini mensasarkan golongan petani, peladang, usahawan, pegawai agensi awam dan swasta serta Persatuan NGO dari dalam dan luar negara. Kursus ini dijalankan melalui empat kaedah iaitu Kursus Berjadual di mana kursus ini telah ditetapkan tarikh perlaksanaan, tempoh, tempat, kumpulan sasaran dan bayaran. Kursus Tidak Berjadual pula merupakan kursus yang dilaksanakan mengikut keperluan dan kesesuaian khas permintaan pelanggan manakala Program Pendidikan Sepanjang Hayat Tanpa Ijazah  pula adalah program pengajian bersama pelajar sepenuh masa di UPM di mana  tempoh pengajian adalah satu semesta. Program Sangkutan pula adalah program yang bertujuan untuk berkongsi kepakaran, penyelidikan, kemahiran, pengetahuan dan pengalaman di antara UPM dan agensi yang terlibat dan ia dilaksanakan mengikut permintaan pelanggan.

Maklumat berkenaan program ini boleh diperolehi melalui iklan di media massa, laman web, propektus kursus atau berhubung terus dengan Pegawai Pertanian, Unit Pemajuan Profesional dan Pendidikan Sepanjang Hayat.


Nafisah Awang
   03-89471819

 Bimbingan Keusahawanan

Khidmat bimbingan pembangunan keusahawanan dengan pendekatan mengubah minda turut disediakan melalui program latihan, bengkel, seminar, ceramah motivasi, pameran, khidmat nasihat serta aktiviti berkaitan keusahawanan. Kumpulan sasaran bagi program ini adalah terbuka namun fokus utama diberikan kepada golongan belia, graduan, pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pelajar sekolah. Untuk maklumat lanjut, hubungi Pegawai Pertanian, Unit Pembangunan Keusahawanan dan Jalinan Industri.

Nik Muhamad Adnan Mohd Nor
  03-89471814