Teratak Semai | Universiti Putra Malaysia
» Teratak Semai

Teratak Semai

Projek Teratak Semai pembinaan rumah untuk komuniti Orang Asli di Tapah, Perak merupakan projek perintis yang telah diilhamkan pada tahun 2014 oleh Pejabat ADUN Chenderiang Tapah, Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk & Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Malaysian Medical Association (MMA). Lawatan tapak ke Kampung Bt. 13, Jalan Pahang, Tapah telah diadakan pada 9 April 2014 dan sesi taklimat projek kepada komuniti Orang Asli di Dewan Orang Ramai Kampung Pahang, Tapah pada 17 Jun 2014. Hasil daripada lawatan tersebut dan maklum balas yang diterima, Prof. Madya Ar. Meor Mohammad Fared selaku Ketua Projek berserta penyelidik Dr. Wan Srihani Wan Mohamed, Dr. Shafizal Maarof dan Dr. Mohamad Fakri Zaky Ja’afar telah mereka bentuk prototaip rumah mampu milik bina sendiri (self-build affordable house) menggunakan bahan simen, paip pvc, kayu, bumbung ‘metal deck’ dan dinding anyaman buluh atau daun bertam.

Projek pembinaan rumah Orang Asli ini telah bermula pada Januari 2015 sehingga April 2016 dengan mendapat sumbangan kewangan daripada MMA, Prestariang Berhad dan D’Aura Group Sdn. Bhd. dan sumbangan bahan binaan dari Lhoist (Malaysia) Sdn. Bhd., PU Profile Sdn. Bhd dan TNB. Sementara sukarelawan dalam kalangan staf, pelajar dan Alumni senibina UPM telah berkerjasama dan berganding bahu dengan komuniti Orang Asli dan kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk membina rumah Orang Asli tersebut.

Projek Teratak Semai Fasa 1.0 (dari 29 Januari hingga Julai 2015) telah berjaya membina empat (4) unit rumah di Kampung Bt. 16, Jalan Pahang, Tapah dan Projek Teratak Semai Fasa 2.0 (dari 17 Ogos hingga Disember 2015) telah membina enam (6) unit rumah di kampung yang sama. Sementara Projek Teratak Semai Fasa 3.0 (dari 18 Januari hingga April 2016) telah berjaya membina enam (6) unit rumah di Kampung Bt. 5, Jalan Pahang, Tapah. Di samping itu satu (1) unit rumah lagi menggunakan kaedah Industrialised Building System (IBS) telah juga dibina di kampung yang sama.

Updated:: 22/05/2017 [hairul_nizam]

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1503162012