Ranking Global Subjek Pertanian

Bidang pendidikan pertanian yang dipelopori UPM bukan sahaja sinonim dengan jenama UPM, malah ia menjadi disiplin yang memberi sumbangan penting kepada sekuriti makanan negara dan sekali gus berpotensi tinggi untuk menganjak citranya ke peringkat global.  Melalui QS World University Ranking by Subjects 2017/2018, subjek Pertanian dan Perhutanan UPM kekal selama lima tahun berturut-turut dalam senarai 100 terbaik di dunia dan kajian Reputasi Majikan untuk subjek ini menunjukkan bahawa UPM berada pada ranking kelima di dunia dengan skor 85.9% berbanding dengan skor 85.1% pada 2015/16. Kecemerlangan UPM dalam subjek pertanian dan disiplin berkaitan pertanian adalah bukti komitmen dan iltizam UPM yang amat tinggi dalam mengangkat martabat pertanian dan ia juga adalah kesinambungan legasi UPM sejak tahun 1931. US News & World Report : Best Global Universities for Agricultural Sciences telah menyenaraikan UPM pada kedudukan ke-54 di dunia pada 2014 melonjak kepada ranking 45 di dunia pada 2015 dan mengekalkan kecemerlangan dengan kedudukan ke-42 di dunia & ketujuh di Asia pada 2016.