YOSH UPM, MyFundAction Sasar Hasil 5,000 Pelindung Muka Untuk Petugas Barisan Hadapan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » YOSH UPM, MyFundAction sasar hasil 5,000 pelindung muka untuk petugas barisan hadapan

YOSH UPM, MyFundAction sasar hasil 5,000 pelindung muka untuk petugas barisan hadapan

Oleh: Nurul Athira Mohd Affandi

 

SERDANG – Pelajar Chapter Alumni YOSH UPM dan MyFundAction, Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) menyasarkan untuk menghasilkan 5,000 pelindung muka kepada kakitangan barisan hadapan menangani COVID-19.

Pengerusi Chapter Alumni YOSH UPM, Muhammad Azri Abdul Jalil berkata 1,000 pelindung muka serta beberapa keperluan perubatan yang lain telah diserahkan kepada Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Heric Corray.

 

Bagi memanfaatkan masa terluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 40 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka (face shield) dengan kerjasama MyFundAction dan MyHeart untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Sabah dan Pahang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata UPM membawa pelajar yang berada di kampus untuk menjadi sukarelawan dan merupakan satu inisiatif untuk mengisi masa pelajar sepanjang tempoh PKP.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan rasa tanggungjawab membantu kerajaan mencegah wabak Covid-19.

Wakil Majlis Perwakilan Pelajar UPM (MPPUPM), Victoria Nacgee Anak Mathew berkata sukarelawan yang terbabit ditempatkan di Bilik Gerakan SUKSIS UPM yang memenuhi Standard Operating Procedure (SOP) bagi proses menyiapkan pelindung muka itu.

“Pelajar dibahagikan kepada dua sesi setiap hari untuk menyediakan pelindung muka dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM, Nur Asilah Ismail, berkata pada fasa pertama, lebih 1,000 unit pelindung muka disiapkan minggu lalu dan 1,000 lagi akan sediakan dalam masa tiga hari.

Setiausaha MyHeart, Dr Aimi Syakirah berkata sebagai rakyat Malaysia kita haruslah sentiasa membantu antara satu sama lain demi membanteras wabak COVID-19.

"Usaha yang dilaksanakan oleh pelajar UPM dan NGO menghasilkan 5,000 pelindung muka diharap dapat membantu barisan hadapan terutamanya doktor, jururawat dan petugas kesihatan di hospital serta klinik kesihatan," katanya.

 

Wakil Chapter Alumni YOSH UPM, Nur Asyikin Ramli berkata beliau terharu atas sokongan pelajar UPM yang sudi tampil sebagai sukarelawan serta memanfaatkan masa dalam menyumbang tenaga.

“Pelajar juga teruja walaupun kepenatan selepas bertungkus lumus menyiapkannya dan gembira dapat menyumbang bakti sambil mengisi masa lapang atas tanggungjawab semangat jati diri yang sayangkan negara,” katanya. - UPM

Tarikh Input: 29/04/2020 | Kemaskini: 29/04/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKZAAn:00:45