| Universiti Putra Malaysia

YOSH Special Iftar agih pek makanan kepada frontliners, pelajar UPM

SERDANG - Chapter Alumni YOSH Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Kolej Pendeta Za’ba dan Persatuan Anak Negeri Terengganu (PAKAT UPM) meneruskan program jalinan Ramadan - YOSH Special Iftar dan Gotong - Royong Edaran Bubur Lambuk

Ini adalah program kedua Chapter Alumni YOSH UPM bersama MyFundAction untuk tajaan makanan special Iftar kepada petugas barisan hadapan dan mahasiswa dalam kampus sewaktu pandemic COVID-19 ini.

Program tahun ini lebih istimewa kerana diadakan pada 1 Mei yang bertepatan dengan sambutan Hari Pekerja, yang secara tidak langsung sebagai penghargaan YOSH UPM kepada petugas barisan hadapan dalam menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat.

Program ini bertujuan menerapkan elemen kesukarelawanan dan prihatin mahasiswa kepada petugas barisan hadapan serta menggunakan waktu pada bulan Ramadan dengan aktiviti bermanfaat.

Pengarah Program, Muhammad Iqmal Haris, berkata 1,000 set bubur lambuk disediakan dalam aktiviti gotong royong bersama pelajar dan 1,000 pek special Iftar yang disumbangkan oleh MyFundAction.  Gotong royong dijalankan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bubur lambuk yang diagihkan kepada petugas barisan hadapan turut dilengkapi set rendang Pak Atta dan kurma dari JAWI Food Bank,” katanya.

Penyerahan bubur lambuk dan special iftar itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr Arifin Muhammad Abdu bersama Ketua Eksekutif MyFundAction Muhamaaf Afiq  Mohmad Nazari dan Pengetua Kolej Pendeta Za’ba, UPM, Dr Mohd Hafiz Mohd Zaid.

Prof. Dr Arifin berkata, program itu merupakan inisiatif Chapter Alumni YOSH UPM, Kolej Pendeta Za’ba dan Persatuan Anak Negeri Terengganu bagi mengimarahkan bulan Ramadan.

Program itu juga merupakan tanggungjawab sosial alumni terhadap warga kampus UPM.

“Inisiatif hari ini adalah sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan kepada petugas barisan hadapan yang berbakti kepada negara untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

“Selain menghargai petugas barisan hadapan, pek bubur lambuk dan special iftar turut diberikan kepada pelajar yang menetap dalam kampus dengan diwakili oleh Presiden kolej masing-masing,” katanya.

Muhammad Afiq pula berkata, MyFundAction ingin berkongsi rezeki di bulan mulia ini  bersama barisan hadapan yang banyak berdepan cabaran dalam menangani pandemik COVID-19 dan juga pelajar yang menetap dalam kampus.

“Ini sebagai tanda sokongan kepada usaha dan pengorbanan mereka,” katanya. - UPM

SXEUFAx~