| Universiti Putra Malaysia

Yayasan HLAF tawar 4 biasiswa untuk program PhD di UPM

Oleh Saiful Maskan
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 26 Feb (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Human Life Advancement Foundation (HLAF), sebuah yayasan tanah air, menandatangani perjanjian bagi menawar empat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) serta peluang mengikuti program postdoctoral di UPM.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata dengan perjanjian tersebut, pihak HLAF bersetuju untuk menawarkan empat biasiswa bernilai USD15,000 dan USD35,000 setahun kepada mereka yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke  program PhD ataupun mengikuti program postdoctoral di UPM.

“Biasiswa yang ditawarkan bukan sahaja untuk program PhD dalam negara malah turut dibuka bagi program kerjasama siswazah antarabangsa yang ditawarkan di UPM antaranya ialah program kerjasama dengan University of Sheffield (Joint PhD Degree), University of Nottingham (Dual PhD Degree), University of Newcastle Australia (Joint PhD Degree) dan Kyushu Institute of Technology (Dual PhD Degree),” katanya.

Tambah beliau, perjanjian dengan HLAF adalah penting bagi mengukuhkan usaha UPM untuk menarik minat lebih ramai pelajar siswazah serta pemegang ijazah PhD untuk datang ke UPM.

 



“Ini bukan sahaja akan mempelbagaikan lagi sumber pembiayaan kepada pelajar malah akan mendorong penglibatan yang lebih aktif dalam aktiviti penyelidikan yang mempunyai impak dan nilai komersial yang mampu meningkatkan pendapatan universiti dan negara,” katanya lagi.

Perjanjian Persefahaman itu ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi dan Ketua Pegawai Eksekutif HLAF, Junaidi Said.

Turut hadir sama dalam majlis berkenaan ialah HLAF Head of Forum, Prof. Asif Sabanovic; Penasihat HLAF, Hasan Cengic; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin dan Dekan Sekolah Pengajian Siswazah UPM, Prof. Dr. Bujang Kim Huat.

HLAF adalah sebuah organisasi antarabangsa yang tidak berasaskan keuntungan, dilancarkan pada 27 Mac 2013 dengan tujuan untuk merapatkan jurang di antara negara maju dan negara membangun di dalam aspek pengembangan teknologi dan inovasi melalui perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi.

Penaung HLAF ialah Mantan Perdana Malaysia yang keempat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, selaku salah seorang dari tiga Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang dilantik oleh yayasan tersebut yang bertapak di Menara Dato’ Onn,  Putra World Trade Centre. – UPM

 -- sm/kgo


SXDdQAf~