| Universiti Putra Malaysia

Wen Shin Chia terima Queen’s Young Leaders Award 2018

Oleh: Azman Zakaria

 

SERDANG, 25 Julai - Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), Wen Shin Chia merakam detik sejarah dan menjulang nama UPM apabila dipilih menerima Queen’s Young Leaders Award daripada Her Majesty Queen Elizabeth II di Istana Buckingham, London baru-baru ini.

 

Anugerah itu adalah pengiktirafan terhadap usaha dan kerja-kerja yang dilakukan oleh golongan belia dan remaja di negara-negara Komanwel yang berjaya mencorakkan kehidupan masyarakat.       

 

Wen, 26, menerima anugerah itu atas usaha dan kerja yang dilakukannya dalam menangani pencemaran. Beliau menerima anugerah berkenaan pada 26 Jun lalu.

 

“Saya amat bersyukur dan kerana terpilih untuk menerima Queen’s Young Leaders Award. Perasan saya amat gembira, ia tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata… saya amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk menjadi antara kalangan mereka yang terpilih dalam kumpulan pemimpin muda yang mengagumkan ini.

 

“Anugerah yang diterima ini menambahkan lagi keyakinan saya untuk terus bekerja bersungguh-sungguh dan terus menabur berbakti,” katanya yang pernah menuntut di Fakulti Pengajian Alam Sekitar UPM.

 

Beliau berkata, tidak pernah terlintas di hatinya selama ini yang beliau akan menerima anugerah daripada Her Majesty Queen Elizabeth II, apatah lagi di Istana Buckingham.

Katanya, pekerjaannya tidak menentu selepas mengambil keputusan berhenti kerja beberapa tahun lalu, untuk mengendalikan syarikat bermatlamatkan impak, Green Yards.

 

Syarikat itu menjalankan usaha untuk mengurangkan pencemaran air dengan menyediakan platform untuk masyarakat mengitar semula minyak masak yang sudah digunakan. Pihaknya mengumpul minyak itu dan memprosesnya menjadikan sabun-eko dan lilin.

 

Menurutnya, ada ketikanya terlintas dalam fikirannya untuk tidak meneruskannya usaha itu tetapi atas sokongan semua, beliau menanam tekad meneruskan usaha di Green Yards.

Wen adalah antara 240 golongan pemimpin muda dari 53 negara Komanwel yang berusaha menjadikan dunia tempat kediaman yang lebih baik.

 

Queen’s Young Leaders 2018 itu adalah pengiktirafan bagi usaha-usaha mencari penyelesaian yang dijalankan terhadap isu-isu global seperti perubahan iklim dunia, kekurangan sumber makanan, keganasan berasaskan jantina, penyakit mental, dan peluang mendapatkan pendidikan. - UPM

 

SXETXA~