| Universiti Putra Malaysia

WAZAN laksana tujuh inisiatif bantu staf, pelajar semasa PKP

Oleh: Azman Zakaria

 

SERDANG, 10 Jun: Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) pantas bertindak menggerakkan tujuh inisiatif membantu staf, pelajar dan masyarakat, sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dillaksanakan kerajaan 18 Mac lalu.

Pengarahnya, Dr. Razali Othman, berkata kira-kira RM500,000 diagihkan melalui  insiatif itu yang dijalankan secara serentak bermula 20 Mac untuk membantu mereka yang terkesan dan terjejas daripada sudut kewangan kerana PKP ekoran pandemik Covid-19, serta bantuan bagi persiapan menyambut Hari Raya.

Katanya, melalui inisiatif kutipan sumbangan, lebih RM200,000 dikumpulkan hasil kutipan yang pertama kali dilaksanakan secara lebih tersusun, terancang dan terselaras, yang kemudian diagihkan kepada staf dan orang luar.

Beliau berkata, WAZAN juga menggerakkan inisiatif Bantuan Khas Tunai Covid-19 berjumlah kira-kira RM100,000 untk staf di UPM Serdang dan kampus Bintulu, Sarawak.

 

Inisiatif Bantuan Khas Bukan Tunai Covid-19 juga diberikan berbentuk bantuan makanan kering seperti beras, tepung, biskut, gula dan susu. Inisiatif ini lebih tertumpu kepada staf yang terkesan kerana PKP dan pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung dan ‘terperangkap’ di kolej.

Katanya, Inisitif Bantuan Kecemasan pula diberikan kepada staf yang merupakan ibu tunggal berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, pelajar di luar kampus yang berdepan masalah kewangan, serta pelajar yang mengikuti latihan industri yang berdepan masalah membayar sewa rumah kerana bapa tidak dapat bekerja ekoran PKP.

Beliau berkata, inisiatif Bantuan Zakat pula diberi kepada pelajar untuk sara diri dan yuran pengajian. 

Khusus bagi bulan Ramadan pula, katanya, WAZAN melaksanakan program e-agihan Ramadan menggantikan program e-ziarah Ramadan ekoran PKP. Seramai 123 pelajar yang susah dan asnaf dari seluruh negara masing-masing diberi RM500. Dua pelajar menerima bantuan musibah ribut dan terputus sumber kewangan.

Katanya, WAZAN juga menghulurkan sumbangan bagi penyediaan makanan untuk petugas barisan hadapan UPM pada Hari Raya. - UPM

 

 

WXEaBAY~