| Universiti Putra Malaysia

Warga UPM mesti berjiwa besar, bermotivasi harungi tahun 2017

Oleh Azman Zakaria
Foto Noor Azreen Awang
  

SERDANG, 24 Feb - Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr Aini Ideris menjangkakan tahun 2017 akan terus memberi cabaran getir kepada sektor pendidikan tinggi khususnya di peringkat universiti, dan oleh itu mahu warga UPM sentiasa berjiwa besar dan bermotivasi untuk mengekalkan kecemerlangan.

Katanya, beliau percaya, dengan semangat bekerjasama dan ikatan satu warga, UPM mampu mengharungi cabaran itu dengan lebih mudah.

“Justeru, atas semangat keserakanan dan kesepunyaan, saya berharap kita akan dapat terus memperkukuh semangat solidariti dan kekitaan untuk terus bersama-sama melestarikan kecemerlangan UPM,” katanya ketika berucap menyampaikan perutusan Tahun Baharu 2017, di sini yang dihadiri staf dan pelajar UPM.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. M.Iqbal Saripan dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar dan yang masing-masing dilantik ke jawatan itu pada 15 Feb lalu, serta Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr Ing Ir.Renuganth Varatharajoo.

Dalam ucapan perutusan yang bertemakan “Ihsan: Kecemerlangan dan Cabaran” itu, Prof Datin Paduka Dr Aini mahu semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) menyediakan Pelan Tindakan (Action Plan) bagi merealisasikan inisiatif iaitu pengukuhan kelestarian hijau dan pengwujudan UPM Taman Botani, pemerkasaan berterusan bidang pertanian, penyelidikan dan keperluan strategik negara, serta pemerkasaan bakat dan kepemimpinan akademik.

Yang lain ialah memupuk kecemerlangan dan keinsanan pelajar, pengalaman pembelajaran sebagai persediaan kehidupan, penggunaan teknologi dalam pembelajaran, memperkasa kecemerlangan Kampus Bintulu, meneroka strategi baharu pendanaan universiti dan pengurusan risiko, memperkasa integriti dan kebajikan staf UPM, dan Universiti Putra Malaysia sebagai jenama global.

Beliau juga berharap agar warga UPM dapat menjadikan Ihsan sebagai sumber kekuatan dalam usaha berterusan untuk mentransformasi diri ke arah kecemerlangan, yang akan turut melonjakkan UPM sebagai institusi cemerlang.

 â€œKita jangan sesekali menganggap cabaran yang kita hadapi sebagai kekangan kepada kecemerlangan par excellence kita, tetapi sebaliknya, sebagai satu dorongan terhadap peningkatan sifat daya tahan (resilience) kita, yang akan memelihara dan mempertahankan kecemerlangan kita sebagai sebuah universiti penyelidikan,” katanya.

Beliau berkata bagi menyahut cabaran pendanaan dan kewangan universiti, setiap warga UPM bertanggungjawab membudayakan aktiviti penjanaan dana dan penjimatan kos di semua peringkat staf.

Katanya, ke arah perlaksanaan konsep Ihsan, setiap warga UPM bertanggungjawab untuk berubah kepada budaya lebih berjimat cermat, berbelanja secara berhemah, mengelak pembaziran, mengamalkan lean  management,  serta mengoptimumkan penggunaan kemudahan dan sumber sedia ada. 

Menurutnya, untuk tahun 2017, pembiayaan pendidikan tinggi di Malaysia mengalami pengurangan bajet untuk semua universiti awam daripada RM7.57 bilion pada tahun 2016 kepada RM6.12 bilion untuk 2017 atau 19.2%. Manakala dalam konteks UPM, peruntukan mengalami pengurangan 29.7% daripada tahun sebelumnya.

UPM akur dengan realiti dan trend pengurangan pembiayaan kerajaan untuk mengurus operasi universiti, katanya sambil menjelaskan usaha UPM ke arah inisiatif pengewangan aset (asset monetization) ialah melalui 10 entiti universiti yang dikenal pasti sebagai mempunyai peralatan atau prasarana milik universiti yang mampu menjana pendapatan secara stabil dan berterusan.

“Pengurangan bajet untuk sektor pendidikan tinggi negara telah mengakibatkan pembidaan geran penyelidikan daripada dana kerajaan semakin kompetitif. Justeru, kita tidak boleh lagi berharap sepenuhnya kepada dana kerajaan, sebaliknya meneroka sumber dana lain sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, satu daripada pendekatan yang mahu diterapkan oleh universiti untuk berhadapan dengan cabaran pendanaan penyelidikan ialah melalui keserakanan atau collegiality. -  UPM

SXDdFAr~