| Universiti Putra Malaysia

Warga UPM merakamkan ucapan takziah

 

SERDANG, 30 Mac - Warga Universiti Putra Malaysia (UPM) merakamkan ucapan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Rashdan Hj. Baba yang kembali ke Rahmatullah pada hari ini, 30 Mac, 2020. Semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

 

Pemergian beliau merupakan kehilangan seorang pemimpin dan pejuang dalam bidang Pertanian kepada UPM dan negara. Usaha dan sumbangan Allahyarham kepada UPM, bangsa dan negara akan terus menjadi amal jariah dan tidak akan dilupakan.

 

LATAR BELAKANG DAN SUMBANGAN

Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba yang merupakan  merupakan tokoh akademik yang terkenal dalam bidang agronomi dilahirkan pada 31 Oktober 1935 di Rembau, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Chembong dan meneruskan pengajian di Government English School, Tampin.

Beliau merupakan pemegang Diploma Pertanian daripada Kolej Pertanian Malaya, Serdang dan seterusnya melanjutkan pengajian di University of Reading, United Kingdom dalam bidang sains pertanian dan berjaya memperoleh Ijazah Kedoktoran Sains Pertanian daripada University of Leeds, United Kingdom.

Kewibawaan dan ketokohan Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba dalam sejarah pendidikan negara terserlah apabila menjadi anak watan yang pertama yang dilantik memegang jawatan Pengetua, Kolej Pertanian Malaya dari tahun 1965 hingga 1969 dan membawa Kolej Pertanian Malaya ke satu tahap yang amat membanggakan pada masa ini selaras dengan penubuhan Universiti Pertanian Malaysia sehinggakan diberi jolokan "Bapa Pembangunan Kolej Pertanian Malaya".

Beliau mendapat dorongan dan sokongan padu daripada bekas gurunya Pak Rashid Atau Mohd Rashid Ahmad, Pengarah Ladang 1964-1969 dan pernah menjadi Ahli Lembaga Yayasan Pak Rashid.

Kejayaan beliau dalam menerajui dan membangunkan Kolej Pertanian Malaya telah menarik perhatian Perdana Menteri Malaysia Kedua, Tun Abdul Razak apabila beliau telah dilantik menjadi Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia selama tiga (3) tahun bermula tahun 1969. Minat yang tinggi dan kecenderungan beliau dalam bidang pertanian telah menyumbang kepada pelantikan sebagai Naib Canselor yang pertama menerajui Universiti Pertanian Malaysia dari tahun 1971 hingga 1982.

Selaku Naib Canselor pertama, beliau telah berjaya menubuhkan sembilan (9) buah fakulti dan dua (2) pusat yang mengendalikan sembilan belas (19) program ijazah, sembilan (9) program diploma dan satu (1) program profesional serta ijazah lanjutan. 

Penamaan Auditorium Rashdan Baba merupakan penghargaan UPM terhadap sumbangan Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Rashdan Hj. Baba kepada pembangunan universiti ini dan sekali gus mengabadikan satu ikon akademia yang menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga UPM.

Secara peribadi, beliau banyak memberi idea-idea kepada Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris untuk meningkatkan UPM sebagai sebuah universiti unggul dalam bidang Pertanian.

Menurut  Prof. Aini, Allahyarham amat sayang kepada UPM dan sentiasa memberi idea untuk kecemerlangan UPM. Walaupun beliau telah lama meninggalkan UPM, beliau masih terus memberi sokongan kepada UPM, hadir dalam banyak majlis-majlis UPM dan yang dianjurkan oleh Persatuan Alumni UPM. 

Semasa Prof. Aini menziarahi beliau pada 23 Jan 2020 di Hospital Ampang Putri, Allahyarham masih memberi nasihat dan cadangan untuk memperkasakan UPM terutama dalam bidang pertanian.

Allahyarham juga telah menaja satu hadiah Universiti iaitu Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Rashdan Baba Graduan (peringkat Bacelor) yang dikurniakan setiap tahun kepada seorang graduan dalam program pengajian yang berkaitan dengan Pertanian yang cemerlang dalam akademik, aktif dalam ko-kurikulum dan menunjukkan pencapaian yang baik dalam latihan industri. Hadiah tersebut berupa pingat bernilai RM1,000 dan wang tunai RM3,000.

Prof Aini menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pelopor dalam pembangunan dan kemajuan pertanian serta  sangat pemurah dari segi wang ringgit mahupun perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman.  Terbaharu, walaupun dengan tahap kesihatan yang begitu lemah, beliau masih teruja dengan usaha penyelidikan dan memperkenalkan produk tanaman yang baharu. 

Pada peringkat nasional, Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba turut bekerjasama berganding bahu dalam menerajui penswastaan pertama negara iaitu Syarikat Telekom Malaysia Berhad sebagai Pengerusi Eksekutif pada tahun 1987 sehingga 1995. Beliau juga adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad dan turut menganggotai lembaga pengarah syarikat untuk beberapa anak syarikat Kumpulan Guthrie Berhad bermula tahun 1982 sehingga 1987. Beliau juga mendapat anugerah Malaysia’s Ceo Of The Year. 

Pelantikan beliau sebagai Pengarah Bebas di Unisem (M) Berhad masih diteruskan sehingga ke hari ini sejak tahun 1998. Kemuncak kepada ketokohan beliau sebagai tokoh pendidik adalah dengan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus daripada Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1999.

Anugerah kehormat akademik lain yang diterima oleh beliau adalah anugerah Doctor of Science daripada University of Reading, United Kingdom (1986), Doctor of Law daripada University of Leeds, United Kingdom (1989), dan Doctor of Science daripada Universiti Multimedia (2006).

Kepimpinan Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba juga terserlah dalam menjawat jawatan penting di peringkat kebangsaan sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Tun Abdul Razak (1972-1989), Member, Court of Fellow of Malaysia Institute of Management (MIM) (1979), Presiden, Harvard Business School Alumni Club Malaysia (1983-1984), Pengerusi Lembaga Penasihat, Perpustakaan Malaysia (1984), Ahli Kehormat Seumur Hidup, Persatuan Pustakawan Malaysia (2005), Felo Kanan, Akademi Sains Malaysia (ASM), First Honorary Member, Malaysian Society of Agricultural Engineers (MSAE) dan Honorary Fellows, British Graduates Association Malaysia.

Manakala di peringkat antarabangsa pula, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat, Regional Cooperation in Education in Asia and The Pacific (UNESCO) (1979-1982), Fellow, Telecommunications Executive Management, Institute of Canada (1988), Chairman The Telecommunication Development Advisory Board, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York (1993-1995), dan Presiden, Asian Association of Agricultural Colleges and Universities (AAACU) (1977).

 

Bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Mohd Rashdan bin Hj. Baba dalam bidang pendidikan tinggi dan sumbangan beliau dalam memajukan dasar penswastaan negara, beliau telah dianugerahkan dengan Anugerah Bintang Kebesaran Panglima Setia Mahkota yang membawa kepada gelaran 'Tan Sri' yang diterima pada tahun 1974. Selain itu, beliau turut dianugerahkan sebagai Malaysia's CEO of the Year oleh Business Times and American Express Corporate Services pada tahun 1995. - UPM

 

SXEUWAr~