| Universiti Putra Malaysia

Walkathon Amal KanWork3 tingkat kesedaran masyarakat mengenai kanser

 

 

SERDANG, 15 Sep – Walkathon Amal KanWork3 berlangsung meriah dengan mendapat sambutan baik, dan berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanser khususnya di kalangan mereka yang menyertai program berkenaan,

 

Walkathon Amal KanWork3 sejauh 5 km itu dianjurkan oleh Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan War on Cancer Malaysia di Bukit Ekspo, UPM.

 

Presiden KanWork, Dr. Mazanah Muhamad berkata, program itu berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kanser khususnya yang menyertai program berkenaan, menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti berjalan serta menjana dana untuk persatuan.

 

Beliau berkata, Walkathon Amal KanWork3 itu juga secara langsung berjaya  mengeratkan lagi ukhwah ahli KanWork dan rakan kerjasama melalui interaksi pertemuan sosial.

 

“Ini akan menggiatkan lagi aktiviti kesedaran mengenai kanser kepada masyarakat umum, amalan gaya hidup sihat serta memperkasa hubungan dan kerjasama antara KanWork dan rakan-rakan kongsi,” katanya.

 

Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program berkenaan, antaranya pemeriksaan kesihatan, piknik, pameran kanser, dan sesi bersama survivor.

 

KanWork adalah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berdaftar yang menyampaikan maklumat dan memberi pendidikan mengenai kanser kepada komuniti terutamanya kepada pesakit kanser, survivor dan keluarga.

 

KanWork turut menganjurkan pelbagai aktiviti antaranya program pendidikan dan kesedaran kanser, memberi sokongan informasi, emosi dan rohaniah kepada pesakit melalui lawatan ke hospital, rumah dan melalui talian Helpline 1-8000-22-8672 serta menganjurkan aktiviti kumpulan sokongan pesakit kanser. - UPM

 

SXEUVAP~