| Universiti Putra Malaysia

‘UPM Young Doctors’ Day’ galak pelajar minati dunia perubatan

Oleh: Masriana Hassan

 

SERDANG - Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program UPM Young Doctors’ Day (YDD 2017) Siri ketiga bagi menggalakkan pelajar meminati dunia perubatan seawal sekolah rendah.

Program yang bertemakan pendidikan kesihatan itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 100 pelajar dari Sekolah Kebangsaan  Serdang, Sekolah Kebangsaan Sri Serdang, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) F E Serdang dan Sekolah Kebangsaan Cyberjaya.

Pengarah program, Dr. Masriana Hassan berkata berbeza daripada program sebelumnya, UPM YDD 2017 mempunyai pelbagai modul kesihatan yang menarik iaitu ‘Young and Health’.

 

Peserta didedahkan kepada cara hidup sihat dan berkaitan penyakit yang disebabkan pemakanan, cara mencuci tangan yang betul, tabiat merokok serta mempelajari mengenai   sel darah dan penyakit berkaitan darah.

“Peserta bukan sahaja dapat belajar mengenai kesihatan dan langkah-langkah penjagaan kesihatan secara umum, malah dapat mendalami pengetahuan itu dengan aktiviti interaktif yang dijalankan, bersesuaian dengan tahap umur mereka,” katanya.

Program itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Anatomi Manusia, Jabatan Sains Bioperubatan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Jabatan  Ortopedik. Pelbagai modul menarik diperkenalkan antaranya ‘Gastrointestinal Tract (GIT)’, ‘Mom and Baby Journey’ dan ‘Playground Injuries & Cement Fractured Hand’.

Ketua Jabatan Patologi, Prof. Madya Dr Norhafizah Mohtarrudin selaku penganjur Program UPM YDD berhasrat bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Kementerian Pelajaran dan badan swasta agar program dapat dianjurkan secara menyeluruh di sekolah-sekolah dan institusi lain secara lebih efektif.

“Harapan saya agar program ini dapat membantu pelajar dalam mata pelajaran sains serta menambah minat mereka di dalam dunia perubatan,” katanya.

 

Timbalan Dekan Siswazah dan Jaringan Industri dan Masyarakat, FPSK, UPM,  Prof. Madya Dr Shamsul Bahri berkata pakar perubatan turut memberikan perkongsian ilmu kepada peserta  dalam program YDD 2017, manakala 23 pelajar perubatan turut membantu sebagai fasilitator.

“Peserta menunjukkan minat dan kesungguhan mereka untuk menerokai ilmu perubatan dan sains kesihatan,” katanya. - UPM

 

WXDdRAe~