UPM Universiti Pertama Di Malaysia Kaji Pembiakan Buaya Guna Tabung Uji | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM Universiti Pertama di Malaysia Kaji Pembiakan Buaya Guna Tabung Uji

UPM Universiti Pertama di Malaysia Kaji Pembiakan Buaya Guna Tabung Uji

Oleh Azman Zakaria



JOHOR BAHRU, 27 Sept: Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar sejarah sebagai  universiti pertama di negara ini yang berjaya menjalankan kajian terhadap buaya tembaga dalam membangunkan tekonologi pembiakan reptilia berkenaan.

Kajian itu yang dilakukan di Santuari Sarang Buaya Pasir Gudang, Tanjung Langsat bertujuan membangunkan teknologi pembiakan seperti permanian beradas terhadap reptilia itu.

Kajian mula dijalankan April tahun lalu membabitkan empat ekor buaya tembaga jantan. Usaha itu berjaya menetaskan dua anak buaya tembaga tahun ini, menjadikan populasi buaya tembaga di santuari itu bertambah kepada kepada 110 ekor daripada 108 ekor.

Ia sekali gus memberi harapan dalam usaha menyelamatkan spesies berkenaan daripada ancaman kepupusan.

Ketua Penyelidiknya, Prof Dr Abd Wahid Haron berkata kejayaan itu bakal menjadi titik tolak rujukan penyelidik seluruh dunia berhubung pembiakan buaya tembaga.

"Inisiatif membangunkan teknologi pembiakan buaya tembaga adalah lebih kepada pengumpulan dan kajian kualiti semen (air mani), yang pertama kali dilakukan di negara ini," katanya.



Penyelidikan dilakukan dengan kerjasama Santuari Sarang Buaya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Penyelidik bersama dalam kajian ini adalah Dr. Wan Nor Fitri Wan Jaafar, Dr Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan, Yap Keng Chee dan Azha Sardi daripada Fakulti Perubatan Veterinar, serta pelajar Mohd Qayyum Ab Latif. Daripada Unit Sarang Buaya MPPG ialah Abdul Malek Ab Aziz dan Dana Raj Shanmugam, manakala daripada Perhilitan pula ialah Dr Donny Yawah serta Dr Zubaidah Kamarudin.

Prof Dr Abd Wahid yang juga pensyarah Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar berkata, sokongan dan kerjasama oleh semua pihak yang terbabit membolehkan pengambilan dan pengumpulan semen dilakukan secara teratur dan mudah.

Beliau berkata, apa yang dilakukan ialah semen akan diperoleh daripada buaya jantan dan disimpan melalui proses pengawetan bagi tempoh yang lama.

“Melalui kaedah ini, pembiakan buaya . terutama bagi buaya ganas boleh dilakukan melalui persenyawaan dalam tabung uji, selain,cara normal," katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersyukur dapat melakukannya kerana menurutnya ia disifatkan sebagai boleh membantu MPPG melonjakkan sektor eko pelancongan, farmaseutikal dan pendidikan yang berasaskan penyelidikan.

Beliau turut menghadiri majlis penghargaan kerjasama penyelidikan dan menandatangani hasil kajian buaya tembaga antara MPPG dan Fakulti Perubatan Veterinar UPM. Turut hadir Yang Dipertua MPPG, Md Za'nal Misran. – UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563507847