| Universiti Putra Malaysia

UPM universiti paling lestari di Malaysia


 

SERDANG, 14 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) terus cemerlang dalam pencapaian UI-GreenMetric World University Ranking 2021 apabila sekali lagi berada di kedudukan pertama di peringkat kebangsaan sekali gus mencatatkan sejarah kejayaan mengekalkan kedudukan ini secara berterusan bagi tempoh dua belas (12) tahun berturut-turut.

 

UPM juga berjaya meningkatkan kedudukan pada tangga ke-27 dalam ‘Top 50 Sustainable Universities in The World’ bagi penarafan ini pada tahun ini dan juga disenaraikan sebagai universiti ketiga terbaik di Asia.

 

Penarafan kampus lestari ini meliputi 6 skop utama, iaitu infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, air, pengangkutan dan tidak dilupakan komponen penting iaitu pendidikan. Sebanyak 956 buah universiti dari pelbagai negara telah dinilai dalam UI-GreenMetric World University Ranking pada tahun ini dan 25 daripadanya adalah universiti dari Malaysia.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata kejayaan ini perlu dikekalkan dan menjadi pencetus kepada semua warga UPM dalam meneruskan usaha terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti mahupun program yang dapat memberi impak kepada pembentukan komuniti yang cakna mengenai penjagaan alam sekitar. Untuk itu, pada 2022 UPM akan memberi fokus yang lebih banyak kepada aspek tenaga dan perubahan iklim.

 

“UPM akan terus komited dalam mendukung usaha kelestarian dan berperanan sebagai sebuah kampus yang komited dalam menyebar luas pengetahuan melalui pengajaran mahupun penyelidikan yang memfokuskan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar yang semakin tua ini. Usaha-usaha kelestarian akan terus dilaksanakan oleh warga kampus dalam menyahut hasrat UPM iaitu ‘Menggema Seruan Al-Falah Dari Menara Ilmu’ dan memastikan Pelan Strategik UPM 2021-2025 mampu dicapai dengan jayanya.” katanya.

 

Keputusan yang dikeluarkan oleh pihak penganjur pada 14 Disember 2021 itu menyaksikan universiti-universiti dari Amerika Syarikat dan Eropah mendominasi kedudukan 20 teratas. - UPM

SXEZAAL~