UPM-Universiti Miyazaki Meterai Perjanjian Pertukaran Pelajar Dan Penyelidikan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM-Universiti Miyazaki meterai perjanjian pertukaran pelajar dan penyelidikan

UPM-Universiti Miyazaki meterai perjanjian pertukaran pelajar dan penyelidikan

Oleh Rezuan M. Aspar
foto oleh Hasrul Hamdan



SERDANG, 1 Julai (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menandatangani dua persetujuan kerjasama dengan Universiti Miyazaki (UM), Jepun di sini hari ini membuka jalan kepada pertukaran pelajar dan penyelidik akademik di antara dua buah universiti itu.

Dua persetujuan itu – Perjanjian Pertukaran Akademik dan Memorandum Pertukaran Pelajar di antara Universiti Putra Malaysia dan Universiti  Miyazaki  - adalah sah selama lima tahun.

Kedua-duanya ditandatangani oleh Prof Dato’ Ir Dr Mohd Saleh Jaafar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bagi pihak UPM dan Prof Dr Tatsuo Suganuma, presiden Universiti Miyazaki.



Mengikut perjanjian pertukaran pelajar itu, kedua-dua buah universiti bersetuju untuk menaja maksimum tiga pelajar setahun daripada rakan universiti mereka di mana semua yuran tidak perlu dibayar, sedang pelajar berkenaan akan bertanggungjawab bagi perbelanjaan peribadi termasuk perjalanan, penginapan dan yuran insurans.

Ketika jangka masa pertukaran tidak lebih setahun itu (boleh dilanjutkan) pelajar skim pertukaran itu boleh menghadiri syarahan, seminar dan tutorial di mana universiti tuan rumah akan menilai pencapaian akademik mereka menurut  peraturannya sendiri.

Pelajar skim pertukaran itu kemudian akan menyerahkan kepada universiti beliau rekod akademik, sijil atau diploma diperolehi daripada universiti tuan rumah untuk diakreditasi ke rekod akademik mereka.

Perjanjian untuk pertukaran akademik itu meliputi lima perkara, iaitu pertukaran penyelidik; kerjasama dalam projek penyelidikan dan simposium; pertukaran data dan bahan penyelidikan;pertukaran pelajar dan kakitangan pentadbiran.



Perjanjian itu menetapkan bahawa semua butir terperinci setiap bidang pertukaran akan dirundingkan dan dipersetujui di antara kedua-dua universiti sebelum dilaksanakan.

Perbelanjaan hasil daripada pelaksanaan perjanjian itu adalah tanggungjawab setiap universiti, kecuali satu perjanjian baru dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Universiti  Miyazaki adalah sebuah universiti kebangsaan terletak di daerah Miyazaki di tenggara Pulau Kyushu, menghadap Lautan Pasifik.

Dengan sejumlah 5,600 pelajar dan 1,400 kakitangan, universiti itu ditubuhkan pada Oktober 2003 berikutan penggabungan dengan Kolej Perubatan Miyazaki. Sekolah pengasas universiti sebelum ini ditubuhkan pada 1884.- UPM

- rma/kgo 


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563454725