UPM Universiti Inovatif Terbaik Negara, Ketiga Asia Tenggara Dan Ke-73 Asia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM Universiti Inovatif Terbaik Negara, Ketiga Asia Tenggara dan ke-73 Asia

UPM Universiti Inovatif Terbaik Negara, Ketiga Asia Tenggara dan ke-73 Asia

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh


LONDON, 31 Ogos - Universiti Putra Malaysia (UPM) tersenarai sebagai universiti inovatif terbaik dalam negara oleh ranking Reuters Top 75: Asia’s Most Innovative Universities berdasarkan kecemerlangan institusi pendidikan di dalam sains, penciptaan teknologi baharu dan membantu memacu ekonomi global.

Kedudukan UPM juga merupakan ketiga terbaik Asia Tenggara dan ke 73 terbaik Asia, diikuti oleh Universiti Malaya pada kedudukan 75, yang disenaraikan oleh agensi berita terkemuka dunia Reuters semalam.

Universiti Jepun dan Korea Selatan mendominasi 17 daripada 20 tempat teratas dalam senarai 75 universiti pilihan Reuters atau dikenal dengan Reuters Top 75 dan agak memeranjatkan tiada negara Asia tenggara lain tersenarai kecuali Singapura dan Malaysia.



Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata pemilihan oleh Reuters berdasarkan metodologi yang memberi tumpuan kepada artikel ilmiah penyelidikan asas yang dilakukan di universiti dan pemfailan paten yang menunjukkan usaha institusi dalam perlindungan dan pengkomersialan inovasi.

“Dengan  kedudukan UPM sebagai universiti inovatif terbaik dalam negara mengikut pemilihan Reuters, inisiatif Putra Global untuk UPM mencapai kedudukan 200 universiti terbaik dunia menjelang 2020 akan terus dipergiatkan.

“Selari dengan visi UPM iaitu ke arah universiti bereputasi antarabangsa, kualiti penyelidikan dan inovasi UPM bukan sahaja boleh melonjakkan tahap kecemerlangan UPM tetapi memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara,” katanya mengulas pengiktirafan tersebut.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris juga berkata selain penulisan saintifik, UPM tidak mengabaikan penulisan popular untuk menyampaikan maklumat inovasi kepada rakyat dan industri dengan membuat sidang media inovasi purata sebulan sekali atau 10 kali setahun sebagai universiti dalam negara yang paling kerap menganjurkan sidang media inovasi dengan wartawan.

Bahagian Harta Intelek dan Sains, Thomson Reuters mengenal pasti lebih daripada 600 institusi  dunia yang menyiarkan penyelidikan paling akademik dalam jurnal ilmiah sepanjang tahun 2009-2014, dan diindeks dalam Web Thomson Reuters.  Subsidiarinya, Reuters ialah sebuah agensi berita antarabangsa yang merupakan web berita kedua tertinggi dicapai dalam dunia.

Penilaian berdasarkan 10 kriteria iaitu Jumlah Paten (Patent Volume), Sitasi Paten (Patent Citations), Kejayaan Paten (Patent Success), Paten Luar Negara (Global Patents), Impak Sitasi Paten (Patent Citation Impact), Peratus Sitasi Paten (Percent of Patents Cited), Impak Sitasi Paten kepada Artikel (Patent to Article Citation Impact), Impak Sitasi kepada Artikel Industri (Industry Article Citation Impact), Peratus Artikel Kolaboratif bersama Industri (Percent of Industry Collaborative Articles) dan Jumlah Koleksi Utama Artikel Web Sains (Total Web of Science Core Collection Papers).

Setiap universiti dinilai menggunakan pelbagai indeks termasuk kekerapan permohonan paten diluluskan universiti, jumlah pemfailan paten dalam dan luar negara, kekerapan paten universiti mendapat sitasi pihak lain, kekerapan artikel penyelidikan universiti dirujuk sebagai sitasi oleh paten  dan peratusan artikel yang mempunyai wakil industri sebagai penulis bersama.

Untuk maklumat lanjut rujuk
http://uk.reuters.com/article/asiapac-reuters-ranking-innovative-unive-idUKL1N1BA15E
 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511157301