UPM UNGGULI TEMPAT PERTAMA DALAM UI-GREENMETRIC WORLD UNIVERSITY RANKING | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM UNGGULI TEMPAT PERTAMA DALAM UI-GREENMETRIC WORLD UNIVERSITY RANKING

UPM UNGGULI TEMPAT PERTAMA DALAM UI-GREENMETRIC WORLD UNIVERSITY RANKING

SERDANG, 8 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) terus melakar kejayaan yang cemerlang dalam pencapaian UI-GreenMetric World University Ranking 2020 Top 50 Sustainable Universities apabila sekali lagi dinobatkan sebagai universiti terbaik di Malaysia sekali gus mencatatkan sejarah kejayaan mengekalkan kedudukan ini secara berterusan bagi tempoh sebelas (11) tahun berturut-turut.

UPM juga berjaya mengekalkan kedudukan tangga ke-28 dalam Top 50 Sustainable Universities in The World pada tahun ini dan juga disenaraikan sebagai universiti ketiga teratas di peringkat Asia.

Sebanyak 922 buah universiti dari pelbagai negara telah dinilai dalam UI-GreenMetric World University Ranking pada tahun ini.

Penarafan kampus lestari ini mempunyai lebih daripada 40 indikator yang meliputi 6 skop utama, iaitu infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, air, pengangkutan dan tidak dilupakan komponen penting pendidikan. 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata kejayaan itu merupakan komitmen UPM terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan.

“UPM akan terus berusaha untuk menjadi sebuah kampus yang bukan sahaja memfokuskan pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi berperanan sebagai sebuah instituti ilmu yang melahirkan insan yang cakna terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya

Keputusan yang dikeluarkan penganjur ranking iaitu Universiti Indonesia (UI) pada 7 Disember 2020 itu menyenaraikan universiti-universiti dari Amerika Syarikat dan Eropah mendominasi ranking 20 teratas.

Info lanjut: http://greenmetrics.ui.ac.id/overall-rankings-2020/

 

Tarikh Input: 09/12/2020 | Kemaskini: 09/12/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKZVAd:21:28