| Universiti Putra Malaysia

UPM, UASB India kaji kurangkan stres air pada tanaman

 

BENGALURU, (India) – Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama University of Agricultural Sciences Bengaluru (UASB) India menjalankan kajian penggunaan sisa penuaian dan pemprosesan padi untuk meningkatkan kadar pengeluaran hasil tanaman jagung di samping mengekalkan pertumbuhan dalam keadaan kekurangan air atau kemarau.

Kajian rumah kaca itu memberi fokus kepada pengurusan sisa tuaian padi secara mampan.

Asia merupakan benua yang mempunyai kawasan penanaman serta pengeluaran padi terbesar di dunia, dan justeru itu banyak sisa seperti sekam dan jerami padi terhasil.

Pensyarah Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Dr. Daljit Singh berkata ramai petani menggunakan semula sisa itu pada tanah, dan ia boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar sekiranya tidak dilakukan secara betul dan mampan.

“Proses pemanasan sekam padi dalam keadaan kekurangan oksigen dikenali sebagai biochar, dan sekam padi ini dapat membantu meningkatkan kecekapan pengambilan nutrient daripada baja oleh pokok jagung,” katannya

Beliau berkata, penggunaan biochar sekam padi itu dapat membantu mengurangkan penggunaan baja kimia, di samping memaksimumkan penggunaan sekam padi.

Pakar nutrisi Tanaman dan Tanah, UASB, Prof. Dr. Prakash Nagabovanalli, pula berkata ciri istimewa yang terdapat dalam sekam padi adalah kandungan mineral silika yang tinggi.

Katanya, mineral silika itu membantu menegangkan daun dan batang pokok jagung walaupun dalam keadaan kekurangan air.

“Masalah kekurangan air bukan perkara baharu bagi Malaysia dan India. Seperti manusia dan haiwan, pokok tanaman juga memerlukan air yang secukupnya untuk memastikan kesegaran batang, daun dan akarnya.

 

“Daun pokok yang segar akan membolehkan proses fotosintensis berjalan dengan baik, manakala kekurangan air akan menyebabkan daun pokok jagung bergulung dan menjadi kering yang akan membantutkan proses fotosintesis,” katanya.

Penyelidikan jangka panjang itu ditaja oleh Jabatan Sains dan Teknologi India. Dr. Daljit Singh menjalankan sangkutan penyelidikan selama enam bulan di India. - UPM

 

 

 

 

 

 

WXDdOAo~