| Universiti Putra Malaysia

UPM - TRCRC – Bioversity - CIRAD rintis usaha pemuliharaan hutan

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

Foto oleh Marina Ismail

                                         

 

SERDANG, 28 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (TRCRC) berkongsi pengetahuan dan kepakaran dengan dua organisasi antarabangsa untuk merintis usaha ke arah pemuliharaan hutan negara.

Dua organisasi antarabangsa itu ialah The French Centre For International Coorperation In Agricultural For Development (CIRAD) dan Bioversity International akan bekerjasama dalam usaha UPM dan TRCRC dalam penyelidikan dan aktiviti memulihkan kemusnahan hutan dan projek penanaman semula pokok hutan.

Pengerusi TRCRC Malaysia, Tun Jeanne Abdullah berkata persefahaman multi disiplin perhutanan itu membolehkan kepakaran antara empat pihak digabungkan untuk menyumbang konsep kepada pemuliharaan hutan hujan tropika negara.

“Setiap pihak mempunyai peranan dan kepakaran masing-masing. Persefahaman ini boleh membanggakan negara dan kita perlu kembali kepada usaha pemuliharaan hutan.

“Saya berharap lebih banyak pihak dan pemegang taruh mula melakukan pemuliharaan hutan dan tanggung jawab ini harus digalas oleh setiap orang dengan rasa cinta dan semangat tinggi terhadap hutan kita,” katanya yang menandatangani perjanjian persefahaman mewakili TRCRC dengan UPM yang ditandatangani oleh Naib Canselor UPM.

Naib Canselor UPM, Prof, Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris pula berkata persefahaman itu membolehkan pakar setiap entiti berkongsi pengalaman dan hasil penyelidikan terhadap usaha kelestarian pemuliharaan hutan hujan tropika.

“UPM dan TCRRC selaku organisasi tempatan akan cuba mencari dana daripada agensi awam dan swasta di Malaysia sementara Bioversity dan CIRAD akan menyediakan saintis bagi mengendalikan koloborasi antara UPM dan TCRCR,” katanya.

Kerjasama itu juga menjadikan projek pemuliharaan hutan UPM dan Mitsubishi Corporation selama 26 tahun yang berjaya menanam 300 ribu anak pokok hutan di Sarawak dan Selangor sebagai model pemuliharaan hutan yang berjaya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Prof. Dr. Paridah Md. Tahir, peneraju projek pemulihraan hutan UPM-Mitsubishi Corporation, Prof. Dato’ Nik Muhamad Nik Ab. Majid, Dr. Riina Jalonen, Ketua Bioversity International Malaysia Office dan Pengarah Eksekutif TRCRC, Dr. Dzaeman Dzulkifli.

SXEUUAg~