UPM Tingkat Kerjasama Pendidikan Dengan 4 Universiti Di Jordan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM tingkat kerjasama pendidikan dengan 4 universiti di Jordan

UPM tingkat kerjasama pendidikan dengan 4 universiti di Jordan

Oleh Mohd Nazri Md Yasin

AMMAN, 27 Jan -  Delegasi Universiti Putra Malaysia (UPM) meningkatkan kerjasama akademik dan pengantarabangsaan program pendidikan yang ditawarkan dengan empat buah universiti di Jordan baru-baru ini.

Delegasi yang diketuai oleh  Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan telah mengadakan lawatan kerja ke Amman Arab University (AAU), Jordan University of Science and Technology (JUST), Yarmouk University dan University of Jordan.

Beliau menyifatkan lawatan itu permulaan kepada hubungan kerjasama pengantarabangsaan yang lebih erat dengan universiti-universiti di Jordan dan Timur Tengah.

“Lawatan ini menepati sasaran yang ditetapkan dengan mencapai persefahaman dan komitmen positif yang diberikan oleh keempat buah universiti di Jordan. 

“Ini merupakan usaha universiti meningkatkan keberhasilan akademik dan penyelidikan serta menarik pelajar/staf dari universiti di Jordan untuk datang ke UPM,” katanya.

Beliau mengadakan pertemuan dengan President dari Arab Amman Universiy (AAU), Presiden Jordan University of Science and Technology (JUST) dan Timbalan Presiden Yarmouk University pada 26 Januari lalu dan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat dengan kedua universiti itu.

Delegasi UPM turut menandatangani MoU selepas perjumpaan dengan pegawai pengurusan University of Jordan pada 27 Januari lalu.

Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan bagi aktiviti pertukaran pelajar/staf, menawarkan ijazah berkembar (jointly awarded degree), menganjurkan seperti persidangan antarabangsa,  seminar dan kolaborasi dalam bidang penyelidikan.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi turut menyatakan hasrat untuk menjemput Presiden dan pengurusan Universiti dari Jordan melawat UPM untuk melihat sendiri kemudahan dan sistem akademik mereka.

Pengarah Education Malaysia Jordan, Prof. Madya Dr. Azidan Abdul Jabar turut menyertai delegasi UPM ke Jordan.


Pertukaran dokumen MoU antara Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan,  Naib Canselor UPM dan Prof. Dr. Omar Al-Jarrah, Presiden Arab Amman University  dan disaksikan oleh Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsuddin, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa


Universiti Amman Arab
Universiti Amman Arab ditubuhkan pada 1999 sebagai sebuah universiti swasta yang tidak berasaskan keuntungan dengan pengkhususan bertumpu kepada pengajian siswazah, juga dikenali sebagai Sekolah Pengajian Siswazah Universiti Amman Arab dan merupakan universiti pertama Jordan yang kompeten dalam menawarkan program peringkat sarjana dan doktor falsafah. Universiti ini juga merupakah ahli Persatuan Universiti Arab.

Pertukaran cenderamata antara Presiden JUST, Prof. Abdallah I. Husein Malkawi dengan Prof. Dato’ Mohd Fauzi Ramlan dan disaksikan oleh Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa


Jordan University of Science dan Technology (JUST)

Merupakan sebuah universiti kerajaan yang komprehensif terletak di pinggir Irbid, 70km utara Amman, ibu negara Jordan. JUST diasaskan pada 1986, sentiasa berada di barisan hadapan sektor pengajian tinggi dunia Arab. Universiti itu tersenarai sebagai 50 universiti penyelidikan terkemuka dunia Islam berdasarkan kajian Statistical, Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries (SESRIC).

Kini JUST mempunyai lebih daripada 800 staf akademik sepenuh masa, dengan 20,000 pelajar peringkat ijazah dan 1800 pelajar pascasiswazah, berbanding hanya 2,300 pelajar sekitar tahun 1986-1987. Universiti ini juga menempatkan sejumlah 5,000 pelajar antarabangsa dari 60 negara, menjadikannya universiti yang mempunyai pelajar pelbagai latar budaya teramai di Jordan.

JUST menawarkan pelbagai program ijazah lanjutan di peringkat siswazah dan pascasiswazah yang kebanyakannya tidak ditawar oleh mana-mana universiti lain di Jordan. Universiti ini mempunyai 12 fakulti (Perubatan, Kejuruteraan, Sains & Seni, Farmasi, Pergigian, Pertanian, Perubatan Veterinar, Seni Bina, Teknologi Maklumat, Sains Gunaan, Kejururawatan dan Pengajian Siswazah) dan 55 jabatan yang menawarkan 42 program siswazah dan 95 program pascasiswazah.


Pertukaran dokumen Surat Hasrat antara UPM dengan JUST, Jordan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan dan Prof. Ahmed M. Elbetieha


Universiti Yarmouk

Ditubuhkan pada 1976, merupakan salah satu institusi pendidikan kerajaan terbesar dan paling berprestij di Jordan. Kini universiti tersebut mempunyai 27,850 pelajar, 936 staff akademik, 1,740 staff pentadbiran dan teknikal meliputi 13 fakulti yang menawarkan 56 program sarjana muda, 63 program sarjana dan 19 program PhD dalam pelbagai pengkhususan. Universiti itu juga mempunyai 11 pusat penyelidikan dan pembangunan kerjaya

Perbincangan bersama Naib Presiden Yarmouk University, Professor Abdulla Moh'd Al-Jarrah bersama pengurusan tertinggi kedua-dua universiti. Turut menyertaim ialah  Pengarah Pendidikan Malaysia Jordan, Prof. Madya Dr. Azidan Abdul Jabar (2 kanan)


Universiti Jordan

Universiti Jordan merupakan gabungan institusi pengajian tinggi lama dan moden di negara tersebut. Sejak ditubuhkan pada tahun 1962, institusi ini terus memacu kemajuan dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Dengan kapasiti sebagai sebuah institusi pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan komuniti yang komprehensif, Universiti Jordan menawarkan 3,500 program di 18 fakulti.

Di peringkat ijazah pertama, pelajar mempunyai pilihan dengan penawaran sejumlah 63 program antaranya, Seni, Pentadbiran Perniagaan, Sains, Syariah (Pengajian Islam), Perubatan, Kejururawatan, Pertanian, Sains Pendidikan, Kejuruteraan dan Teknologi, Undang-undang, Pendidikan Jasmani, Farmasi, Pergigian, Kemanusiaan dan Sains Sosial, Sains Pemulihan, Teknologi Maklumat dan terkini, Kesenian dan Reka Bentuk. Bagi yang berminat dalam program pengajian siswazah pula, universiti ini turut menawarkan 30 program doktor falsafah, 81 program sarjana, 16 program dalam Pengkhususan Tinggi Perubatan, satu program dalam Pengkhususan Tinggi Pergigian, tiga Program Diploma Profesional, dan enam program sarjana multi-disiplin yang merangkumi pelbagai disiplin akademik.

Dari perspektif antarabangsa, Universiti Jordan turut menawarkan 63 program antarabangsa di peringkat ijazah, dan 130 program antarabangsa di peringkat pascasiswazah dalam pelbagai bidang pengkhususan. Semua program yang ditawarkan oleh universiti menggabungkan syarahan akademik tradisional dan disokong dengan kaedah pengajaran lebih liberal yang berasaskan dialog, penyelidikan serta pemikiran kreatif.

Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563353224