| Universiti Putra Malaysia

UPM TIDAK BERKOMPROMI ISU INTEGRITI AKADEMIK

 

PEJABAT STRATEGI KORPORAT DAN KOMUNIKASI
Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-97696092 

KENYATAAN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) BERHUBUNG ISU INTEGRITI AKADEMIK
DI UNIVERSITI AWAM
2 JULAI 2019

 --------------------------------------------------------------------

UPM TIDAK BERKOMPROMI ISU INTEGRITI AKADEMIK

  1. Kenyataan ini adalah merujuk kepada kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang dilaporkan oleh akhbar The Malay Mail bertarikh 29 Jun 2019 berkaitan isu integriti akademik dan pendirian Menteri Pendidikan Malaysia melalui kenyataan media Pejabat Menteri Pendidikan bertarikh 30 Jun 2019 berkaitan jenayah akademik ini.

  2. Universiti Putra Malaysia (UPM) memandang serius amalan tidak berintegriti golongan akademik di universiti yang melibatkan sebarang bentuk eksploitasi, plagiat, atau mencuri hasil kerja pelajar. UPM sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan amalan tidak beretika seperti ini yang mencemarkan integriti dan reputasi universiti dan institusi pendidikan negara. Justeru UPM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk tindakan tatatertib terhadap staf mahupun pelajar yang didapati terbabit dalam kes ini.

  3. UPM ingin menegaskan bahawa kami mempunyai saluran aduan yang boleh dicapai oleh semua staf, pelajar dan juga orang awam, iaitu:
    1. Sistem U-Respon yang telah dibangunkan bagi memenuhi keperluan kebebasan bersuara dalam kalangan pelajar, staf mahupun orang awam. Mana-mana pihak yang ingin memberi maklum balas atau melaporkan sebarang salah laku boleh menggunakan sistem ini yang dikendalikan secara telus. Sistem ini dipantau secara harian dan setiap aduan yang diterima diteliti dan diambil tindakan dengan segera;

    2. Aduan juga boleh dibuat melalui surat atau emel secara terus kepada Naib Canselor atau mana-mana pegawai universiti yang berkaitan. Aduan melalui kaedah ini juga akan disiasat dan diambil tindakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuat kuasa.

  1. Unit Integriti di bawah Pejabat Naib Canselor telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan semua kes integriti termasuk kes integriti akademik yang akan dirujuk kepada beberapa jawatankuasa yang berkaitan untuk siasatan dengan kaedah yang berstruktur dan profesional. Kes akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan sekiranya wujud unsur plagiat suatu Jawatankuasa Siasatan Dalaman ditubuhkan bagi menyiasat dan mendapatkan fakta lanjut sekiranya perlu. Antara Jawatankuasa bertindak adalah seperti Jawatankuasa Tatatertib Pelajar dan Staf, Jawatankuasa Etika Penyelidikan Universiti, Jawatankuasa Salahlaku Penyelidikan Universiti dan Jawatankuasa Penulisan Akademik dan Penerbitan Universiti. Satu lagi platform untuk membincangkan isu plagiat ini iaitu Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) iaitu jawatankuasa rasmi yang akan membincangkan isu-isu berkaitan integriti, termasuklah plagiat.

  2. Semua jawatankuasa ini diberi kuasa untuk menyiasat secara bebas berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa termasuk untuk kes-kes integriti akademik seperti plagiat dalam makalah, jurnal atau tesis. Staf ataupun pelajar yang disabitkan kesalahan akan dikenakan tindakan tatatertib yang berkuat kuasa.

  3. Di samping itu, UPM juga berpegang teguh kepada peraturan-peraturan yang telah dibangunkan untuk menangani kes seumpama ini yang boleh dirujuk oleh semua staf dan pelajar, iaitu:
     
    1. Kaedah-Kaedah Universiti Putra Malaysia (Perkara Akademik Prasiswazah) 2014: Perkara 57 (1) dan (2) : Plagiat

    2. Universiti Putra Malaysia (Graduate Studies) Rules 2003 (Revision 2012-2013) : Part 12: Scholarly Integrity

    3. Postgraduate Student’s Guide: Thesis Preparation – Chapter 5: Plagiarism

    4. Guidelines To Plagiarism Detection

    5. Universiti Putra Malaysia (Research) Rules 2012: Part D – Plagiarism & Research Data Integrity

  1. Sebagai langkah pencegahan dan inisiatif untuk memupuk kesedaran tentang perkara ini secara berterusan dalam kalangan staf dan pelajar, UPM melalui entiti seperti Unit Integriti, Sekolah Pengajian Siswazah, Bahagian Kemasukan dan Pusat Pembangunan Akademik telah bekerjasama untuk mengambil langkah-langkah berikut:

    1. Membuat hebahan tentang integriti termasuk aspek plagiat melalui Info Integriti kepada seluruh warga kampus secara berkala;

    2. Mengadakan taklimat integriti akademik kepada semua pelajar baharu prasiswazah dan pascasiswazah.

    3. Memberi taklimat kepada semua pensyarah lantikan baharu dalam Program Transformasi Minda (PTM) – Integriti, Rasuah dan Keselamatan;

    4. Menganjurkan kursus Integriti Akademik kepada pensyarah secara berkala;

    5. Mewajibkan pelajar untuk mengemukakan Text Similarity Search Report semasa menyerahkan tesis untuk pemeriksaan.

  1. UPM ingin menegaskan langkah-langkah yang telah diambil selama ini melalui pembentukan ekosistem pemantauan dan penguatkuasaan yang komprehensif bagi menangani kes seperti ini membuktikan komitmen UPM dalam mengukuh dan memartabat universiti sebagai institusi pendidikan berintegriti. Justeru UPM ingin menzahirkan komitmen bahawa akan sentiasa memelihara integriti akademik dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku integriti akademik.

 

Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
Serdang, Selangor
2 Julai 2019

WXEUVA0~