| Universiti Putra Malaysia

UPM-The Holstein Milk Company Sdn. Bhd tubuh UPM-ICoE Dairy Farm

Oleh Shaza Zaq’Wan Shafain                                                                                                                              

 Foto Mohd Hasrul Hamdan

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama The Holstein Milk Company Sdn. Bhd (THMSB) bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Industri Penternakan Lembu Tenusu (UPM-ICoE Dairy Farm).

 

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata MoA itu akan membantu meningkatkan infrastruktur Unit Tenusu, Taman Pertanian Universiti (TPU), UPM.

 

“Geran yang dianggarkan sebanyak RM15 juta oleh The Holstein Milk Compony Sdn. Bhd dapat membantu membangunkan infrastruktur, pembangunan dan pemindahan teknologi serta penghasilan tenusu UPM,” katanya.

 

Tambah beliau, Unit Tenusu TPU UPM  akan dinaiktarafkan kepada 40 hingga 60 hektar daripada keluasan asal iaitu sembilan hektar.

Pengarah Urusan Holstein Milk Company, Loi Tuan Ee berkata penubuhan UPM-ICoE Dairy Farm ini menjadi peneraju bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan kepakaran dalam pengurusan industri tenusu negara.

 

“MoA bersama UPM selama 10 tahun ini membolehkan kedua-dua pihak membangunkan UPM-ICoE Dairy Farm supaya sektor ternakan di Malaysia menjadi lebih inovatif, serta menyokong penubuhan Lembaga Tenusu Negara, yang disasarkan pada 2018,” katanya.

 

Turut hadir menyaksikan MoA itu Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Dato' Mohd Sallehuddin Hassan.

 

THMSB yang memenangi gelaran syarikat paling berketerampilan di Pameran Asia Livestok 2015 menggunakan jenama FarmFresh ialah sebuah syarikat peneraju yang telah dilantik kerajaan Malaysia untuk membangunkan industri susu segar negara.

 

Selain itu, THMSB memiliki dua buah ladang tenusu di Kota Tinggi, Johor dan Muadzam Shah, Pahang serta sebuah ladang pengeluaran baka lembu tenusu tropika di Australia. – UPM

SXDdQAd~