UPM Terus Perkasa Bidang Pertanian, Tidak Abai Bidang Lain | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM terus perkasa bidang pertanian, tidak abai bidang lain

UPM terus perkasa bidang pertanian, tidak abai bidang lain


Oleh: Azman Zakaria
Foto:  Marina Ismail

SERDANG, 23 Feb
- Universiti Putra Malaysia (UPM) akan terus memperkasakan bidang pertanian selaras dengan kedudukannya sebagai universiti yang bertunjangkan sektor pertanian bagi menyumbang kepada pembangunan pertanian negara.

Naib Canselor, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata bidang pertanian merupakan niche area atau bidang kebitaraan UPM, dan Universiti mahu kekal ‘menjuarai’ bidang berkenaan.

Beliau berkata, UPM akan turut memperkasa peranannya dalam menerajui bidang sekuriti makanan.



“Kebanyakan fakulti di UPM menjurus kepada pertanian, program-program pertanian ini seperti berkaitan pokok dan tumbuh-tumbuhan serta ternakan akan diperkukuhkan.
 
“Bagaimanapun pada masa yang sama, UPM tidak akan mengetepikan atau mengabaikan bidang lain, ia turut diberikan perhatian,” katanya pada sidang media, di sini.

Beliau berkata, UPM sebagai Universiti Penyelidikan (RU) turut memberikan tumpuan untuk mendapatkan geran penyelidikan daripada luar negara, terutama ketika keadaan ekonomi negara yang mencabar.

Katanya, ia adalah usaha berterusan dan sedang berjalan.

Menurutnya, banyak negara termasuk di Kesatuan Eropah telah membuka geran mereka, terutama yang berkaitan sekuriti makanan, untuk negara-negara lain.

Tahun lalu, UPM memperoleh 11 geran antarabangsa dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11 juta, sekali gus membantu penyelidik universiti dalam menjalankan kajian.  – UPM

 


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1505860637