UPM TERIMA AYAM AWET ONAGADORI BEREKOR TERPANJANG DI DUNIA DARI KERAJAAN JEPUN | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM TERIMA AYAM AWET ONAGADORI BEREKOR TERPANJANG DI DUNIA DARI KERAJAAN JEPUN

UPM TERIMA AYAM AWET ONAGADORI BEREKOR TERPANJANG DI DUNIA DARI KERAJAAN JEPUN

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh dan Arifin Abdu

 

SERDANG, 19 Sept - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Onagadori, iaitu ayam berekor terpanjang di dunia dari kerajaan Jepun , sebagai simbol untuk memperingati perkongsian strategik dengan Persekutuan Ekonomi Kyushu (Kyukeiren).

Onagadori yang berwarna putih itu disumbangkan oleh Pengerusi Kyukeiren, Yutaka Aso kepada Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris juga bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan.

Onagadori yang berasal dari wilayah Kochi, Jepun merupakan spesies ayam yang dilindungi oleh kerajaan Jepun sekian lama dan dianggap sebagai Monumen Hidup Budaya Jepun.

Dalam majlis perasmian di Fakulti Perubatan Veterinar itu, ayam Onagadori disampaikan oleh Atase Pendidikan dan Sains, Ichiro Kuronuma yang mewakili Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa.

Dalam mesej video yang dirakam oleh Yutaka Aso, beliau berharap pameran Onagadori di Muzium Haiwan Anatomi, Fakulti Perubatan Veterinar UPM akan menjadi lambang persahabatan antara UPM dan Kyutech.

Terdapat beberapa jenis Onagadori seperti hitam merah, hitam  perak, hitam emas, dan putih. Onagadori terhasil daripada satu lagi ayam Jepun bernama Shokoku. Shokoku merupakan ayam yang berekor panjang dan berasal dari wilayah Kochi, Jepun. Gen untuk pemanjangan bulu ekor adalah mutasi daripada burung Shokoku dan pembiakan silang.

Pengusaha Jepun telah melalui proses yang agak panjang dalam usaha menghasilkan Onagadori. Perumahan khas dan penjagaan yang dipanggil "tombaku" adalah amalan biasa dalam memupuk penumbuhan bulu panjang sedemikian dalam keadaan terbaik.

“Tombaku” melindungi bulu-bulu serta tidak menggalakkan keadaan yang akan mencetuskan penumbuhan bulu-bulu baru dan menggalakkan pertumbuhan ekor bulu 3 kaki setahun.

Onagadori ialah bentuk ayam yang paling unik daripada hampir 20 jenis ungags asli Jepun, di mana ekornya tumbuh secara berterusan sepanjang hayatnya, mencapai lebih dari 7 meter. Ekor terpanjang di dunia dicatatkan sebanyak 13.5 m.

Usaha pertama untuk membawa balik Onagadori berlaku pada tahun 2012, semasa lawatan Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris ke Universiti Kochi untuk menandatangani memorandum persefahaman dan salah satu agenda adalah untuk memulakan kerjasama dalam penyelidikan Onagadori.

Sebagai pakar dalam vaksinasi burung, beliau menunjukkan minat kepada Onagadori semasa lawatannya ke Pusat Onagadori di Nankoku City. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh sekatan ketat oleh kerajaan tempatan, Onagadori tidak dapat dieksport keluar dari Jepun.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris melawat Jepun untuk kali kedua pada tahun ini untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa dengan institusi pengajian tinggi Jepun dan menandatangani persefahaman dengan Institut Teknologi Kyushu, Universiti Kochi dan Universiti Hiroshima termasuk lawatan timbal balik ke pejabat Aso pada 11 April, 2017.

Pada 27 Mac 2015, Presiden Aso Cement Co, Ltd, Yutaka Aso yang juga adik kepada Timbalan Perdana Menteri Jepun, Taro Aso telah membuat kunjungan ke UPM bersama 50 perwakilan Kyukeiren dan Institut Teknologi Kyushu.

Pertemuan itu bertujuan untuk berkongsi kejayaan UPM terhadap industri halal kepada perwakilan Kyukeiren, dan perbincangan mengenai latihan industri pelajar UPM di Jepun.

Minat Prof. Datin Paduka Aini dan UPM yang luas terhadap Onagadori untuk menjalankan penyelidikan lanjut berkenaan sifat dan ciri-ciri Onagadori demi tujuan memahaminya telah diakui oleh Yutaka Aso pada masa itu.

Kemaskini:: 28/09/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1531786423