UPM Terima 3 Unit Kereta Elektronik-COMS Dari Toyota Auto Body Malaysia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM terima 3 unit kereta elektronik-COMS dari Toyota Auto Body Malaysia

UPM terima 3 unit kereta elektronik-COMS dari Toyota Auto Body Malaysia


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 2 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima tiga unit kereta elektronik-COMS dari Toyota Auto Body (M) Sdn. Bhd. (TABM) iaitu kenderaan sistem mengecas yang selamat untuk penggunaan alam sekitar.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata UPM menghargai sokongan TABM dan Toyota Auto Body Japan (TABJ) atas sokongan serta kerjasama dengan universiti dan berharap kolaborasi tersebut berterusan antara Malaysia dan Jepun.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada TABM dan TABJ atas sokongan dan kerjasama  yang berterusan bersama UPM antaranya dengan mengadakan program pelatih pengurusan, program latihan industri dan program lawatan teknikal yang boleh dimanfaatkan kepada pelajar serta staf UPM,” katanya.



Beliau berkata kejayaan UPM mengungguli UI-Greenmetric World University Ranking di Asia mencerminkan komitmen UPM dalam memelihara alam sekitar melalui aktiviti pembelajaran mesra alam serta sistem pengurusan kualiti yang berasaskan pengurusan alam sekitar yang mampan.

“Sejajar dengan itu, inisiatif projek MyCOMBS akan mempertingkatkan lagi program UPM Eco Campus serta menjadi wawasan universiti ini untuk terus memacu potensi sebagai kampus hijau ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Pengarah Urusan  TABM, Masaki Fukada berkata pemberian kereta elektronik tersebut adalah sejajar dengan hasrat TABJ dalam mempromosikan produk eko mesra keluaran Toyota untuk pemeliharaan alam sekitar ke peringkat global.

“Kami menyokong sepenuhnya projek MyCOMS menjalankan penyelidikan dalam mencapai aktiviti kampus hijau dan berharap UPM akan memaksimumkan peluang untuk meningkatkan lagi kedudukannya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka di Malaysia,” katanya.

Majlis  penyerahan itu turut disaksikan Pengerusi TABJ, Takuji Amioka, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Azmi Mohd Lila dan Pensyarah Kanan, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Madya Dr. Norisham Misron. - UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511183829