UPM Tandatangani Surat Hasrat Kerjasama Dengan Yayasan Steinbeis Malaysia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM tandatangani surat hasrat kerjasama dengan Yayasan Steinbeis Malaysia

UPM tandatangani surat hasrat kerjasama dengan Yayasan Steinbeis Malaysia

Oleh : Najihah Harun

Foto: Marina Ismail

 

SERDANG, 3 Ogos– Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani surat hasrat kerjasama bersama Yayasan Steinbeis Malaysia (STMY) bagi meningkatkan pembangunan kualiti produk halal serta memperluaskan pasaran produk kosmetik halal ke United Kingdom.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata pemasaran halal di peringkat global pada masa kini merupakan sektor ekonomi yang semakin pesat membangun di negara-negara Asia, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat.

“Malaysia yang mempunyai populasi majoriti penduduk beragama Islam dapat menawarkan peluang yang lebih besar untuk menyediakan platform pelancaran ke seluruh dunia kepada perniagaan yang bersedia untuk membuat pembaharuan dan berdaya saing,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. –Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo berkata produk kosmetik berstatus halal sentiasa menjadi pilihan utama terutamanya pengguna Muslim.

“Saya percaya dengan kerjasama antara UPM dengan STMY dapat mewujudkan penyelidikan dan pembangunan yang lebih baik pada masa akan datang terhadap industri ini,” katanya.

 

Sebelum itu, surat hasrat kerjasama IPPH, UPM dan STMY ditandatangani oleh Prof. Dr. Ing Ir. Renuganth Varatharajoo, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan STMY, Dr. Reezal Abdul Latif yang disaksikan oleh Dato’ Sri Nancy Shukri.

Turut hadir, Pengerusi El Hajj Products Sdn. Bhd, Tan Sri Ghazali Sheikh Abdul Khalid, Pengarah IPPH UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Yazid Abd. Manap, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Muamalat Belia, Dato’ Noor Azman Idris dan Ketua Pegawai Operasi Agensi Inovasi, Abdullah Arshad.

Sementara itu,  IPPH UPM berhasrat untuk menjadikan institut penyelidikan itu sebagai salah satu institusi halal yang bertaraf antarabangsa dan terkemuka di Malaysia. - UPM

Kemaskini:: 11/08/2017 [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1505860705