UPM Suntik Semangat Pelajar Atlet Ke Sukan Olimpik | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM suntik semangat pelajar atlet ke Sukan Olimpik

UPM suntik semangat pelajar atlet ke Sukan Olimpik

Oleh: Muhammad Al-Amin Mustafha

SERDANG, 11 Julai – Univeriti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Ramah Mesra atlet Olimpik UPM secara atas talian bagi menyuntik semangat pelajar atlet UPM yang mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

Antara atlet UPM yang melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu ialah penerjun elit negara Leong Mun Yee. Ia merupakan kejohanan edisi kelima peribadi beliau dalam kejohanan Olimpik.

Beliau pernah mewakili negara pada Olimpik Sydney (2000), Athens (2004), Beijing (2008) dan Olimpik London (2012).

Katanya, Olimpik Tokyo 2020 bakal menjadi arena Olimpik terakhir bagi dirinya dan akan melakukan yang terbaik dalam membantu kontinjen negara untuk membuahkan pingat.

Selain beliau, dua pelajar atlet UPM yang mewakili negara ke temasya sukan itu ialah Azreen Nabila Alias dalam acara olahraga dan Shaqiera Mashayikh (memanah).

Kedua-dua atlet muda itu mencatat kejayaan cemerlang di kejohanan utama dunia 2020 yang melayakkan mereka dipilih oleh Majlis Olimpik Malaysia untuk mewakili negara.

Majlis pemberian insentif atlet Olimpik UPM dihadiri Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman bersama pihak pengurusan universiti serta 75 orang atlet kebangsaan yang sedang melanjutkan pengajian di UPM.

Pada majlis itu, Prof. Dr. Mohd Roslan menyampaikan insentif wang tunai RM1,000 setiap seorang. Atlet-atlet itu turut menerima geran bernilai RM2,000 bagi program mobiliti pelajar serta pengecualian yuran pengajian selama dua semester.

Ketua Pusat Sukan UPM, Dr. Hanafiah Ayub berkata UPM sentiasa memberi sokongan penuh kepada atlet yang bertanding dalam memastikan segala keperluan serta kebajikan mereka terjaga.

Penglibatan atlet Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam kejohanan itu memperlihatkan program pembangunan sukan yang disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Pusat Sukan IPT berada di landasan yang tepat dalam menyediakan atlet bertaraf dunia. - UPM

Tarikh Input: 22/07/2021 | Kemaskini: 22/07/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKXTAO:19:58