UPM Sumbang 15 Emas Sukan SEA KL2017 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM sumbang 15 emas Sukan SEA KL2017

UPM sumbang 15 emas Sukan SEA KL2017

UPM universiti tertinggi hantar atlet dan tertinggi kutipan pingat

 

Oleh Auliyaa Putri Ulfana

KUALA LUMPUR - Pelajar atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) menyumbangkan 15 emas, 11 perak dan 11 gangsa dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Atlet emas UPM disumbangkan daripada sukan gimnastik, hoki padang, hoki dewan, lontar tukul besi, renang berirama, ragbi, terjun, karate-do, bola jaring, lompat kijang, renang, dan menembak.

Seramai 75 atlet UPM yang merupakan jumlah tertinggi universiti yang mengambil bahagian dalam Sukan SEA daripada 264 atlet intitusi pengajian tinggi Negara dan membentuk keseluruhan 874 atlet Malaysia.

Malaysia menduduki tempat pertama dengan memenangi 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa, diikuti oleh Thailand dan Vietnam di tempat kedua dan ketiga.

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 disertai oleh 11 negara ASEAN, bermula pada 19 Ogos hingga 30 Ogos.

Sementara itu, seramai 1000 orang pelajar UPM melibatkan semua kolej dan fakulti di UPM menyertai Pasukan Sorak Rasmi Atlet Malaysia KL2017 (SEA Game Chanters), 611 orang terdiri daripada pelajar Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM.

Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM, Prof. Madya Dr. Norihan Md. Arifin berkata penglibatan pelajar adalah secara sukarela.

“Elemen sukarelawan ini merupakan salah satu elemen penting bagi melahirkan graduan unggul di mana selari dengan saranan Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris menerusi Ihsan Tonggak Kecemerlangan.

“Mereka tetap komited menghadiri kuliah sebelum bertolak menjadi pasukan sorak dan jika ada yang perlu mengorbankan kuliah, masih berusaha mendapatkan input dan bahan pembelajaran dari rakan dan pensyarah terlibat,” katanya.

Pengarah Akademi Sukan UPM, Prof. Shamala Subramaniam menyifatkan penyertaan pasukan sorak UPM itu sebagai satu penghormatan yang amat besar kepada UPM untuk membentuk kumpulan sorak rasmi Kontingen Malaysia melalui Team Malaysia.

“Impak pasukan sorak telah mendapat pengiktirafan ahli sukan dan ini merupakan sesuatu yang amat bermakna dalam perjuangan untuk menjadi juara keseluruhan di tanahair kita,” katanya.

Beliau berkata, latihan sorak ini telah dikendalikan oleh Sharon Wee dari Sports Global Warrior dengan kerjasama Akademi Sukan UPM,” katanya.

Pasukan sorak hasil cetusan idea Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu terdiri daripada 2,100 peserta, merangkumi pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang selain pasukan Majlis Sukan Negara, TM Team Malaysia dan Famemas Malaysia.

Penubuhan pasukan sorak itu bertujuan meniup semangat kontinjen negara yang sedang berjuang untuk merealisasikan impian 111 pingat emas pada temasya kali ini.

 

Kemaskini:: 19/09/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1532097728