| Universiti Putra Malaysia

UPM, SME Corp bangun pangkalan data IKS

Oleh Alex Ardiansyah

Foto oleh Noor Azreen Awang

                                                                

 SERDANG, 23 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) dan SME Corp. Malaysia akan membangunkan pangkalan data Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berkaitan jadual input-output IKS.

Jadual itu akan memperincikan transaksi ekonomi antara IKS dan industri bersaiz besar, pengguna akhir dan seumpamanya.

Dalam merealisasikan kerjasama itu, pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) diadakan hari ini antara UPM yang diwakili oleh Institut Kajian Dasar Pertanian dan  Makanan (IKDPM) dan SME Corp Malaysia.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata melalui pembangunan pangkalan data itu, UPM dan SME Corp Malaysia akan muncul sebagai institusi pendidikan dan pemain industri yang pertama seumpamanya di negara ini membangunkan jadual input-output IKS.

Katanya, pangkalan data itu juga akan menggalakkan aktiviti kerjasama bidang penyelidikan dan inovasi antara UPM dan SME Corp Malaysia bagi membangunkan IKS.

"Penyelidikan yang dilaksanakan kemudian akan membantu aktiviti pembuatan dasar bagi merancakkan sektor IKS di Malaysia dalam usaha mengangkat jenama IKS tempatan ke peringkat yang lebih tinggi selaras dengan aspirasi Pelan Induk IKS 2012-2020," katanya.

Beliau berkata, MoU itu juga akan membolehkan SME Corp Malaysia meneroka peluang kerjasama dalam aspek pemindahan ilmu.

"Sebagai sebuah universiti penyelidikan, UPM sentiasa komited dalam menterjemahkan metodologi dan hasil penyelidikan yang telah dan bakal dilaksanakan ke dalam bentuk latihan dan bengkel yang dipermudahkan untuk diaplikasikan oleh pemain industri, sekali gus mewujudkan integrasi antara ahli akademik dan pemain industri melalui program pemindahan ilmu," katanya.

Usaha membangunkan pangkalan data itu dilakukan oleh pasukan diketuai oleh Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar IKDPM, Dr. Mohd Yusof Saari.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Datuk Dr. Hafsah Hashim pula berkata penyelidikan itu akan membolehkan pembuat dasar menganalisis penilaian impak ekonomi IKS terhadap ekonomi negara dan mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu, yang menyokong matlamat  pertumbuhan ekonomi inklusif serta mampan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"UPM telah mengambil pelbagai inisiatif seiring peranan pendidikannya dengan meningkatkan pembabitan pihak industri melalui pelbagai kerjasama" katanya. - UPM

WXEUIAP~